Oleh: Nur Nabilah Nazri

Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan UPSIpreneur@AURORA:Kursus Asas Keusahawanan Siswa pada 17 sehingga 18 April 2026 yang berlokasi di Bilik Seminar Titiwangsa 2 & 3, Scholar’s Suites. Program ini bertujuan melahirkan mahasiswa berkemahiran keusahawanan. 

Kursus ini dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (Entrepreneurial Development and Graduate Employability Centre-EDGE), UPSI dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Ia melibatkan penyertaan pelajar sebanyak 34 orang dari pelbagai bidang bagi memperluas pendedahan keusahawanan.

Peserta didedahkan kepada modul asas keusahawanan seperti penjanaan idea, kanvas model perniagaan, pengurusan organisasi, analisis SWOT, pemasaran, rancangan perniagaan serta kewangan. Sehubungan dengan itu, modul-modul ini dirangka oleh pihak EDGE dengan pendekatan berstruktur bagi meningkatkan pemahaman mahasiswa secara menyeluruh mengenai dunia perniagaan.

Program ini turut menampilkan penceramah berpengalaman dari Fakulti Pengurusan Ekonomi (FPE) iaitu Dr. Norsamsinar Samsudin, Pn. Thuraiya Zakaria dan Dr. Juliana Osman @ Zainal Abidin. Mereka berkongsi pengalaman praktikal serta cabaran sebenar dalam bidang keusahawanan.

Elemen interaksi turut diselitkan melalui aktiviti pembinaan pasukan dan simulasi berkumpulan. Justeru, aktiviti ini dapat membantu membina kemahiran kepimpinan, komunikasi serta penyelesaian masalah dalam kalangan mahasiswa UPSI.

Gabungan pembelajaran teori dan aktiviti berkumpulan menjadikan program ini lebih interaktif dan berkesan. Seterusnya, peserta dapat meningkatkan keyakinan diri serta daya saing.

Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen UPSI dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya tahan. Ia diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan usahawan muda pada masa hadapan.