Oleh Siti Shuhaida Shukor
Tanjong Malim, 23 April 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah memperkukuh jaringan strategik bersama industri menerusi majlis menandatangani Memorandum of Agreement (MOA) bersama MyTutor Academy Sdn. Bhd. yang berlangsung pada jam 11.30 pagi di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Bangunan Canselori, UPSI.
Majlis berkenaan menyaksikan UPSI diwakili oleh Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin serta Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Prof. Madya Dr. Sharul Effendy bin Janudin.
Sementara itu, pihak MyTutor Academy diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Mohd Hafiz bin Kamaruddin, Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Puan Zulaikha binti Jeffrey, Pegawai Perhubungan Korporat dan Perhubungan Awam, Puan Nurul Aqilah Baharuddin serta Eksekutif Pemasaran, Encik Muhammad Noor Hariz bin Md Nor.
Kerjasama strategik ini bertujuan membuka ruang kolaborasi dalam bidang inovasi, latihan, keusahawanan serta pembangunan modal insan yang diyakini mampu memberi manfaat besar kepada pelajar dan graduan UPSI melalui pendedahan kepada keperluan industri sebenar serta peluang meningkatkan kebolehpasaran.
Dalam ucapannya, Naib Canselor UPSI menekankan beberapa fokus utama yang menjadi asas kerjasama antara kedua-dua pihak. Antaranya ialah cadangan menghubungkan ekosistem pembelajaran digital Home2U UPSI dengan platform MyTutor bagi memperluas akses pendidikan dan latihan secara fleksibel kepada masyarakat.
Beliau turut menyentuh potensi pelantikan pensyarah adjung daripada industri bagi membawa pengalaman dunia sebenar ke bilik kuliah, sekali gus merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan profesional.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh model perkhidmatan berasaskan jaminan pulangan wang (money-back guaranteed services) sebagai nilai tambah kepada program latihan dan pembangunan bakat yang bakal diteroka bersama.
Naib Canselor juga mencadangkan pembangunan platform perkhidmatan bersepadu yang membolehkan pelajar, graduan dan komuniti mendapatkan akses kepada latihan, bimbingan, konsultasi serta peluang pekerjaan dalam satu ekosistem digital yang komprehensif.
Kerjasama ini turut membuka peluang penganjuran program berimpak tinggi seperti bootcamp, summer camp dan program pembangunan pelajar di UPSI, selain meneroka inisiatif pendidikan berteraskan tahfiz dan pengajian agama sebagai nilai tambah kepada penawaran sedia ada.
Di samping itu, MyTutor Academy turut menyatakan hasrat menjadikan UPSI sebagai lokasi penganjuran program himpunan dan aktiviti komuniti berskala kecil yang mampu menghidupkan suasana kampus serta memberi manfaat ekonomi kepada warga universiti.
Naib Canselor turut menegaskan bahawa jaringan alumni UPSI merupakan aset strategik yang boleh digerakkan secara lebih aktif melalui kerjasama ini, termasuk dalam aspek pembangunan kerjaya, keusahawanan dan jaringan profesional.
Menariknya, kerjasama ini juga berpotensi membuka laluan kepada graduan untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan PhD, di samping mewujudkan peranan MyTutor Academy sebagai rakan strategik dalam mempromosikan peluang pendidikan lanjutan UPSI.
Melalui MOA ini, kedua-dua pihak berkongsi aspirasi yang sama bahawa universiti dan industri perlu bergerak seiring dalam melahirkan graduan yang relevan dengan kehendak semasa, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran global.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperluas jaringan kolaborasi bersama pihak industri demi memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah kompeten, inovatif dan memenuhi kehendak pasaran kerja.
