Disediakan oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Ling Ying Xin

Tanjong Malim, 14 Mac 2026 – Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK), melalui EXCO Akademik dan Kerjaya, telah berjaya menganjurkan program “Jalur Kerjaya Pendidikan Khas: Dari Kampus ke Dunia Pekerjaan” yang bertujuan memberikan pendedahan kepada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tentang realiti dunia pekerjaan dalam bidang pendidikan khas. Program ini dilaksanakan sebagai satu inisiatif untuk membantu mahasiswa memahami landskap kerjaya sebenar serta mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan sebelum melangkah ke alam profesional.

Program ini memberi tumpuan khusus kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Khas AT10, yang bakal menamatkan pengajian dan memasuki dunia pekerjaan dalam masa terdekat. Melalui penganjuran program ini, para peserta berpeluang memperoleh gambaran yang lebih jelas mengenai pelbagai laluan kerjaya yang boleh diceburi dalam bidang pendidikan khas, termasuk peluang pembangunan profesional yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan pada masa hadapan. Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan kepentingan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai nilai tambah kepada kemahiran sedia ada yang dapat memperkukuhkan daya saing graduan dalam pasaran pekerjaan.

Program ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan jumlah penyertaan seramai 371 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UPSI serta orang awam. Daripada jumlah tersebut, seramai 111 orang pelajar AT10 telah menyertai program ini, sekali gus menunjukkan komitmen tinggi mahasiswa dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Hajah Noraini binti Abdullah, Ketua Jabatan Pendidikan Khas UPSI. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa profesion guru pendidikan khas bukan sekadar satu kerjaya, tetapi merupakan satu amanah besar dalam mendidik serta membimbing murid berkeperluan pendidikan khas agar mereka mampu mengembangkan potensi diri secara optimum. Beliau turut menekankan bahawa guru pendidikan khas memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan murid melalui pendekatan pendidikan yang inklusif, empati serta komitmen yang tinggi.

Turut menyampaikan ucapan alu-aluan ialah Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pembangunan Manusia UPSI. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan mahasiswa melengkapkan diri bukan sahaja dengan pengetahuan akademik, tetapi juga dengan pemahaman yang mendalam tentang realiti dunia pekerjaan. Menurut beliau, mahasiswa perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran profesional serta sentiasa meningkatkan kemahiran diri agar mampu menjadi pendidik yang kompeten dan berdaya saing.

Program ini turut menampilkan Puan Noryusmila binti Mahmood Zuludin, Guru Cemerlang Pendidikan Khas dari SMK Seri Bedena, Selangor, sebagai panel jemputan utama. Dalam sesi perkongsian yang penuh inspirasi, beliau berkongsi pengalaman sebenar sepanjang bergelar pendidik dalam bidang pendidikan khas. Antara perkara yang disentuh termasuklah cabaran yang dihadapi oleh guru pendidikan khas, pendekatan pengajaran yang berkesan dalam mendidik murid berkeperluan pendidikan khas serta kepentingan kesabaran, empati dan kreativiti dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik.

Beliau turut memberikan nasihat kepada para pelajar AT10 agar membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan dengan meningkatkan kemahiran profesional, memperkukuh pengetahuan berkaitan pendidikan khas serta melibatkan diri dalam pelbagai pengalaman pembelajaran yang dapat membina keyakinan dan kompetensi diri sebagai bakal pendidik.

Penganjuran program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, khususnya Dr. Vestly Kong Liang Soon, Penasihat PM2PK, Dr. Hajah Noraini binti Abdullah, Ketua Jabatan Pendidikan Khas, serta semua ahli jawatankuasa yang telah memberikan komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program ini.

Secara keseluruhannya, program Jalur Kerjaya Pendidikan Khas: Dari Kampus ke Dunia Pekerjaan telah berjaya mencapai objektifnya dalam memberikan pendedahan yang komprehensif kepada para peserta mengenai realiti dunia pekerjaan dalam bidang pendidikan khas. Program ini diharapkan dapat menjadi platform yang signifikan dalam membantu mahasiswa membuat persediaan yang lebih rapi, sekali gus melahirkan graduan pendidikan khas yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.