Disediakan oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Aina Sofiya Binti Hidzral

Tanjong Malim, 28 Februari 2026 – Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) di bawah Jabatan Pendidikan Khas, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Pertandingan Melukis bertemakan “Seni Sebagai Bahasa Pendidikan” yang berlangsung dari 21 hingga 28 Februari 2026. Penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk mengasah bakat dan kreativiti mahasiswa dalam bidang seni visual di samping memberi ruang kepada mereka mengekspresikan pemikiran, perasaan serta aspirasi melalui karya lukisan.

Program ini dianjurkan dengan menekankan peranan seni sebagai satu medium komunikasi yang berkesan dalam dunia pendidikan. Tema “Seni Sebagai Bahasa Pendidikan” dipilih bagi mengetengahkan kepentingan seni sebagai bahasa universal yang mampu menyampaikan mesej, nilai serta pengalaman pembelajaran secara kreatif dan bermakna. Melalui seni, pelbagai idea serta perspektif dapat disampaikan tanpa bergantung sepenuhnya kepada komunikasi lisan atau tulisan.

Pertandingan ini telah mendapat penyertaan seramai 19 orang pelajar UPSI daripada pelbagai program pengajian. Sepanjang tempoh pertandingan berlangsung, para peserta berpeluang menzahirkan interpretasi mereka terhadap tema yang diberikan melalui pelbagai gaya dan pendekatan seni. Setiap karya yang dihasilkan memperlihatkan keunikan idea serta kreativiti pelajar dalam menggambarkan hubungan antara seni dan pendidikan.

Selain menjadi platform untuk menonjolkan bakat pelajar dalam bidang seni lukis, pertandingan ini juga bertujuan menggalakkan mahasiswa berfikir secara kreatif dan kritis dalam menghasilkan karya yang mempunyai nilai estetika serta mesej yang mendalam. Melalui penghasilan karya seni, para peserta dapat menampilkan identiti, pandangan serta pengalaman pembelajaran mereka dalam bentuk visual yang menarik dan bermakna.

Kepelbagaian karya yang dihasilkan oleh para peserta turut memperlihatkan bagaimana seni mampu berfungsi sebagai medium penting dalam menyampaikan ilmu serta membina pemahaman yang lebih mendalam terhadap proses pendidikan. Hal ini sekali gus membuktikan bahawa seni bukan sekadar elemen estetika, malah turut memainkan peranan signifikan sebagai alat komunikasi dalam menyampaikan idea dan pengalaman pembelajaran.

Bagi menghargai usaha serta kreativiti para peserta, pihak penganjur telah menyediakan hadiah kepada para pemenang tempat pertama hingga tempat kelima, manakala saguhati turut diberikan kepada peserta yang menduduki tempat keenam hingga kesepuluhsebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka dalam menghasilkan karya yang berkualiti.

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penasihat Program, Dr. Vestly Kong Liang Soon, atas bimbingan dan sokongan yang diberikan sepanjang penganjuran program ini. Penghargaan juga ditujukan kepada Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas, Syarfa Aliah binti Syaiful Azhar, serta seluruh ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus memastikan pertandingan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Penganjuran program ini diharapkan dapat terus memupuk minat mahasiswa terhadap bidang seni serta memperkukuhkan peranan seni sebagai medium penting dalam dunia pendidikan. Inisiatif seperti ini juga dilihat mampu memberi ruang kepada mahasiswa untuk menonjolkan kreativiti serta potensi mereka dalam bidang seni visual, sekali gus menyumbang kepada pembangunan bakat dan kemahiran dalam kalangan warga UPSI.