Oleh Hasrul Hosshan

TANJONG MALIM, 8 April 2026 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE) dengan kerjasama Pusat Kaunseling universiti itu menganjurkan Sesi Forum Khas Autisme bersempena sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia.

Forum bertemakan “Jiwa Organisasi Inklusif: Memperkasa Kesejahteraan Mental Diri dan Sokongan kepada Ibu Bapa Anak Autisme” yang berlangsung di Auditorium Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini menjadi platform memperluas kefahaman masyarakat daripada aspek kesedaran kepada penerimaan dan tindakan inklusif.

Program itu menampilkan pendekatan berbeza dengan mengangkat suara individu autisme dewasa selain pandangan pakar dan pengalaman ibu bapa dalam membincangkan isu berkaitan kesejahteraan mental serta sokongan komuniti.

Antara panel terlibat ialah Dr Alizi Alias yang membincangkan kesejahteraan mental dalam konteks organisasi inklusif, Mohd Fuad Eshak yang berkongsi pengalaman sebagai bapa kepada anak autisme serta Mohd Shafiq Badarulhisham yang mengetengahkan perspektif komuniti, manakala forum dikendalikan oleh Dr Nurbieta Abd Aziz.

Dalam forum itu, panel menekankan keperluan masyarakat beralih daripada sekadar meningkatkan kesedaran kepada penerimaan menyeluruh termasuk penyediaan sokongan berterusan sepanjang hayat kepada individu autisme serta kesejahteraan mental ibu bapa dan penjaga.

Mereka turut menyentuh cabaran yang dihadapi ibu bapa anak autisme seperti beban emosi, kos terapi yang tinggi serta kebimbangan terhadap masa depan anak, sekali gus menegaskan sokongan kepada keluarga merupakan komponen penting dalam membina ekosistem inklusif.

Selain itu, forum berkenaan turut menggariskan peranan organisasi dalam menyediakan persekitaran kerja yang fleksibel, dasar mesra neurodiversiti serta memberi penekanan terhadap kesejahteraan mental pekerja.

Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan CIRCLE dalam memperkukuh agenda inklusif melalui penyelidikan, advokasi dan pembangunan ekosistem pendidikan serta pekerjaan yang lebih menyeluruh.