Dr Norkhalid ketika menerima sijil pengiktirafan MBOR pada Majlis Perasmian First Mobile Mental Health Counseling dan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.Dr Norkhalid ketika menerima sijil pengiktirafan MBOR pada Majlis Perasmian First Mobile Mental Health Counseling dan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Oleh Bazli Razak

TANJONG MALIM, 8 April 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pelaksanaan First Mobile Mental Health Counseling Program menerusi inisiatif ‘Counselor on Wheels’ (COW), sekali gus menjadi program kaunseling kesihatan mental bergerak pertama di negara ini.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil MBOR, Siti Hajar Johor sempena Majlis Perasmian First Mobile Mental Health Counseling dan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme yang berlangsung di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, inisiatif berkenaan merupakan satu langkah proaktif universiti dalam mendekati komuniti dengan membawa perkhidmatan intervensi kesihatan mental secara terus kepada masyarakat.

“Melalui inovasi ‘Counselor on Wheels’, kita telah mentransformasikan Bas Pendidikan UPSI menjadi platform perkhidmatan kaunseling bergerak yang bukan sahaja memfokuskan aspek pencegahan dan psikopendidikan, malah turut melibatkan intervensi serta rujukan kepada pakar.

Beliau berkata, program itu membuktikan peranan universiti bukan sekadar sebagai pusat penyebaran ilmu, tetapi juga sebagai institusi yang bertindak sebagai penyelesaian kepada isu masyarakat khususnya dalam aspek kesejahteraan mental.

Menurut Dr Norkhalid, pasukan pelaksana yang terdiri daripada Pegawai Psikologi dan fasilitator mahasiswa terlatih dalam Psychological First Aid (PFA) telah berjaya menyantuni seramai 7,648 peserta di 38 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Inisiatif ini juga diperkukuh dengan penggunaan teknologi realiti maya (VR) yang membantu memberikan pengalaman intervensi lebih efektif, sekali gus mengurangkan stigma masyarakat terhadap rawatan kesihatan mental,” katanya.

Sementara itu, majlis sama turut menyemarakkan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme yang diraikan sepanjang April bagi meningkatkan kefahaman serta penerimaan masyarakat terhadap individu autisme.

Dr. Norkhalid berkata, autisme perlu dilihat sebagai satu keunikan yang memerlukan sokongan dan kefahaman, bukan penghakiman.

“Sebagai institusi pendidikan, UPSI komited membina ekosistem inklusif yang bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi juga memperkukuh penerimaan terhadap kepelbagaian dalam masyarakat.

Dr Norkhalid ketika melawat perkhidmatan kaunseling di dalam Bas Pendidikan UPSI sambil disaksikan oleh Dr. Pau Kee (kiri) pada Majlis Perasmian First Mobile Mental Health Counseling dan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.
Dr Norkhalid (lapan dari kanan) bergambar bersama barisan pengurusan UPSI serta Pegawai Psikologi dan fasilitator mahasiswa pada Majlis Perasmian First Mobile Mental Health Counseling dan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.
 
Dr Norkhalid ketika merasmikan Majlis First Mobile Mental Health Counseling dan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.
 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr. Mohd Izwan Shahril; Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee dan Pengarah Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) UPSI, Dr. Hasrul Hosshan.