Oleh: NUR AINA HUMAIRA MOHD HAZARIL
TANJONG MALIM, 15 Oktober 2026 – Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan daripada Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan (IPTK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi membincangkan pelaksanaan Simposium Kesejahteraan Mental Penjaga Anak OKU 2026.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengarah IPTK, Puan Zaikiah Mohd Zin, bersama wakil IPTK yang lain. Pertemuan yang berlangsung di Pejabat CIRCLE itu turut melibatkan felo CIRCLE dan pelajar.
Perbincangan antara pihak IPTK dan CIRCLE UPSI ini diadakan menjelang penganjuran simposium tersebut pada November 2026.
Selain membincangkan pelaksanaan simposium tersebut, pertemuan ini turut mencadangkan Pelancaran buku garis panduan Parents Support Group (PSG@CIRCLE) dalam tentatif program sebagai salah satu pengisian simposium.


Simposium Kesejahteraan Mental Penjaga Anak OKU 2026 dijadualkan berlangsung pada 12 November 2026, dari pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang, bertempat di Aras Bawah, Blok 9 KSAS, UPSI. Simposium ini memberi tumpuan kepada penjaga anak autisme dan neurodivergen.
Bertemakan “Penjaga Sejahtera, Anak Lebih Berdaya, Masyarakat Lebih Inklusif”, simposium ini merangkumi pengisian berkaitan kesejahteraan mental penjaga, termasuk kepentingan sokongan kepada penjaga serta sesi selari berbentuk bengkel praktikal.
Antara pengisian yang disenaraikan dalam tentatif program ialah sesi mengenai kepentingan dan peranan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menyokong kesejahteraan mental penjaga, bengkel terapi pertuturan dan terapi cara kerja, serta sesi santai luahan rasa penjaga.
