Gambar bersama peserta dan AJK Pasar GadisGambar bersama peserta dan AJK Pasar Gadis

Oleh : Adlina Batrisyia & Anis Batrisyia

Tanjong Malim – Kemeriahan sebuah program yang menghimpunkan elemen jualan, sambutan perayaan dan keindahan batik telah menyerlahkan suasana yang penuh warna-warni, kemesraan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kolej.

Program Pasar Saloma x Pesona Sarong telah dianjurkan menerusi kerjasama erat Exco Niaga dan Usahawan Muda serta Exco Uniti dan Diversiti, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026.

Kejayaaan program ini juga merupakan hasil dari penajaan penuh oleh kafeteria Kolej Ungku Omar seperti Al-Fateh Kitchen, ZH Kitchen, Ayam Gepuk Pak Ameer, De 5 Merah, Panji Cafe, Nasi Kandaq Melayu, Yuha Delight serta Rancak Cafe dalam menaja makanan dan minuman sepanjang program berlangsung.

 

Perarakan beramai-ramai
Potluck dari penghuni Kolej Ungku Omar
Penggerai-penggerai yang terdiri daripada mahasiswa UPSI 

Program yang melibatkan semua penghuni ini diserikan lagi dengan pelbagai gerai jualan, termasuk makanan, minuman, pakaian, aksesori dan hasil kreatif mahasiswa/i, sambil merasai kemeriahan suasana syawal yang masih berlangsung.

Program ini bukan sahaja memberi pengalaman praktikal dalam dunia keusahawanan tetapi turut menyemarakkan semangat perpaduan dan keterlibatan komuniti kolej. 

Program ini turut disajikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan raya, potluck raya, serta persembahan silat daripada Kelab Pencak Silat UPSI yang berjaya menambahkan kemeriahan suasana.

Selain itu, penganjuran booth jualan dan aktiviti sepanjang program seperti pertandingan peragaan busana, batik painting, anyaman ketupat dan permainan tradisional telah mewujudkan suasana yang lebih interaktif serta memberi ruang kepada penghuni kolej untuk berinteraksi, berhibur dan menghayati semangat perayaan dalam suasana yang harmoni.

Pertandingan Peragaan Busana 
Persembahan nyanyian lagu raya
Persembahan tarian istimewa dari Exco Warisan Seni Dan Budaya

Anis Ellyana Junaidi, Pengarah Program Pasar Saloma, menzahirkan rasa syukur atas kelancaran pelaksanaan program tersebut.

Beliau berharap agar usaha ini dapat terus memperkukuh semangat kerjasama dan memberikan impak positif kepada semua pihak yang terlibat.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, komitmen dan kerjasama sepanjang program berlangsung.

Turut berucap bersama Pengarah Program Pesona Sarong, Hasya Mohammad Hayazi, ucapnya, “Saya berharap agar penganjuran program ini bukan sahaja dapat menyemarakkan sambutan Syawal dalam kalangan penghuni kolej, malah turut menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta mewujudkan suasana yang lebih ceria, harmoni dan bermakna buat semua.” 

Penyampaian hadiah dan penghargaan
 Ucapan Anis Ellyana binti Junaidi, Pengarah Program Pasar Saloma

Majlis penutup turut disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Ketua Felo Kolej Ungku Omar, ChM. Dr. Mohamad Saufi Rosmi.

Beliau menyatakan bahawa program seperti ini wajar diteruskan kerana mampu memupuk perpaduan, menghidupkan nilai budaya serta menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen semua pihak dalam menjayakan program ini.

Sebagai tanda penghargaan, penyampaian cenderahati telah diberikan kepada para pemenang pertandingan serta rakan kolaborasi dan pihak yang terlibat, ini termasuk pihak kafeteria dan Kelab Pencak Silat UPSI atas kerjasama, sokongan dan sumbangan yang diberikan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan Program Pasar Saloma X Pesona Sarong.

Ucapan Hasya binti Mohammad Hayazi , Pengarah Program Pesona Sarong
Ucapan perasmian ChM. Dr. Mohamad Saufi Rosmi

Pasar Saloma x Pesona Sarong tampak berbeza dengan 2 elemen kluster program diterjemahkan bersama dan hasilnya amat memberangsangkan dan ianya menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkasa kreativiti dalam keusahawanan mahasiswa. Program seumpama ini seharusnya  diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah bagi mengasah bakat, membina keyakinan diri, dan menanam minat terhadap budaya serta tradisi tempatan. Selain memupuk semangat inovasi, program ini turut mengukuhkan peranan kolej sebagai ruang pembelajaran holistik yang selari dengan aspirasi Universiti Pendidikan Sultan Idris.