oleh : Muhammad Haziq & Nadiah Azharuddeen
Tanjong Malim – Program JalinKUO: Build The Bond telah berjaya dilaksanakan pada 6 hingga 7 April 2026 bertempat di Dewan Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program anjuran Exco Hal Ehwal Residensi ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pentadbiran kolej, felo, Majlis Mahasiswa Kolej serta para penghuni Kolej Ungku Omar yang berbentuk meet and greet.
Selain itu, ia turut menjadi platform interaksi santai yang memberi peluang kepada penghuni berkenalan dengan lebih dekat bersama pihak pengurusan kolej dalam suasana yang mesra dan harmoni.


Program ini diisi dengan persembahan daripada para pelajar Kolej Ungku Omar. Pada hari pertama, persembahan drama sebabak dipersembahkan oleh kumpulan Kekacip Kekicap sebagai satu gambaran kehidupan berkomuniti yang dapat dijadikan teladan dalam kalangan penghuni kolej.
Pada hari kedua, persembahan syair dipersembahkan oleh Nur Ainul Najihah Roszaidi dan Denisha Haikal Suhaimi dengan mempertengahkan nilai kebersamaan, hormat-menghormati serta semangat kekitaan dalam kalangan warga kolej.
Prof. Dr. Mohd Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar memperkenalkan barisan pentadbiran kolej serta menekankan kepentingan penyesuaian diri dalam kehidupan kolej.
“Para pelajar perlu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta bijak memanfaatkan kemudahan yang disediakan bagi memastikan kesejahteraan bersama,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar para penghuni dapat membina jalinan hubungan yang baik sesama warga kolej demi mewujudkan suasana yang harmoni dan kondusif.


Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam mewujudkan hubungan yang lebih erat antara penghuni dan pihak pengurusan kolej.
Program ini bukan sahaja membantu penghuni menyesuaikan diri dengan kehidupan di kolej, malah meningkatkan kesedaran terhadap peraturan serta kemudahan yang disediakan.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membina komuniti kolej yang lebih harmoni, selamat dan bersatu.

