Oleh: Jamilah Mohd Basir
TANJUNG MALIM, 18 April 2026 – Seramai 30 orang kakitangan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Bengkel Penulisan Berita dan Rencana yang telah berlangsung hari ini.
Bengkel ini dianjurkan sebagai satu inisiatif untuk memperkasa kemahiran penulisan dalam kalangan kakitangan serta menggalakkan penghasilan bahan penulisan berkualiti tinggi.
Program ini menampilkan penceramah jemputan, Timbalan Pengarah (Media), Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Dr. Ghazali Din, yang berpengalaman luas dalam bidang komunikasi dan media.
Sepanjang bengkel berlangsung, beliau telah berkongsi pelbagai teknik dan pendekatan penulisan berita serta rencana yang efektif, termasuk aspek struktur penulisan, pemilihan bahasa yang tepat, serta kaedah menarik minat pembaca.
Menurut Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) NCDRC, Dr Intan Farahana Abdul Rani objektif utama bengkel ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada kakitangan NCDRC dalam menulis secara lebih tersusun dan profesional, di samping membantu mereka mengembangkan idea serta bakat penulisan yang sedia ada.
Beliau berkata penganjuran bengkel seperti ini selari dengan usaha NCDRC untuk memperkukuh keupayaan dalaman institusi dalam aspek komunikasi dan penyebaran maklumat kepada masyarakat. Kemahiran penulisan yang baik bukan sahaja membantu dalam penyediaan laporan dan dokumentasi, malah berperanan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berkesan kepada khalayak umum.


Seorang peserta, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Naziroh Romli berkata bengkel turut menyatakan bahawa program ini sangat bermanfaat dalam meningkatkan keyakinan mereka untuk menulis, khususnya dalam menghasilkan laporan berita dan artikel rencana yang lebih berkualiti.
“Selain itu, bengkel ini juga dilihat sebagai platform yang sesuai untuk mencungkil bakat terpendam dalam kalangan kakitangan serta memupuk budaya penulisan dalam organisasi,” katanya.
Secara keseluruhannya, Bengkel Penulisan Berita dan Rencana ini telah mencapai objektifnya dalam memberi pendedahan serta meningkatkan kompetensi kakitangan NCDRC dalam bidang penulisan. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai penulis yang berkemahiran dan berdaya saing dalam bidang komunikasi penulisan.

