Oleh: John Stone Benual Anak Entri
TANJONG MALIM, 11 April 2026 – Persatuan Perintis Bahasa Etnik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya membangunkan laman web rasmi bagi program Ethnoheritage Digital Infographic 2026 sebagai medium utama promosi, pendaftaran dan hebahan maklumat pertandingan di peringkat kebangsaan.
Laman web ini memuatkan maklumat penting seperti syarat penyertaan, tema pertandingan, panduan penghantaran karya, keputusan rasmi dan galeri karya terbaik.
Program yang bertemakan “Ekspresi Budaya sebagai Sistem Makna dan Kelestarian dalam Masyarakat Malaysia” berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai kategori di seluruh negara.


Antara pengisian utama program ialah pertandingan menghasilkan infografik digital berkaitan warisan budaya Malaysia, di samping menggalakkan kreativiti, inovasi dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya tempatan.
Impak pembangunan laman web ini termasuk memudahkan urusan peserta, meluaskan capaian penyertaan serta memperkukuh imej profesional program.
Inisiatif ini membuktikan bahawa warisan budaya mampu dimartabatkan melalui platform digital yang moden dan relevan dengan generasi masa kini.
