Oleh: Jamilah Mohd Basir
Tanjung Malim, 21 April 2026 – National Child Development Research Centre (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan delegasi Integrated Quranic Schools (IQS) dari Somalia menerusi inisiatif lawatan ilmiah yang disokong oleh World Bank Group.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memahami dengan lebih mendalam model pendidikan Integrated Quranic Schools (IQS) di Malaysia, khususnya dari aspek reka bentuk kurikulum yang menggabungkan pendidikan agama dan akademik serta pengagihan masa pembelajaran yang seimbang.
Delegasi turut ingin meneliti amalan jaminan kualiti pendidikan, pembangunan profesional guru, serta struktur tadbir urus yang menyokong pelaksanaan pendidikan bersepadu secara berkesan.
Ketibaan delegasi seramai 12 orang dari IQS dan wakil World Bank Group telah disambut oleh Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan, diikuti sesi ucapan wakil delegasi, Dr. Abdullahi Abdi Omar.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri “Somalia–Malaysia Study Tour Mission” yang berlangsung pada 15 hingga 22 April 2026 bagi memahami model pendidikan tahfiz bersepadu di Malaysia.
Sepanjang sesi di NCDRC, pelbagai perkongsian ilmu telah dilaksanakan melibatkan topik pendidikan awal kanak-kanak dalam konteks sekolah bersepadu, termasuk aspek kesediaan sekolah, jadual pembelajaran awal.


Selain itu, sesi pertukaran idea dan soal jawab turut membuka ruang diskusi dua hala yang konstruktif antara kedua-dua pihak.
Lawatan ini turut menjadi platform strategik dalam merintis kolaborasi antara NCDRC dan IQS, khususnya dalam pembangunan latihan, penyelidikan serta perkongsian amalan terbaik pendidikan awal kanak-kanak di peringkat global.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen NCDRC dalam memperluas jaringan antarabangsa serta menyumbang kepakaran Malaysia dalam pembangunan pendidikan bersepadu yang holistik dan lestari.
