oleh Zaina Hafiza Mohd Zamri

TANJONG MALIM, 22 April 2026 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat lonjakan kecemerlangan penyelidikan apabila meraih penarafan lima bintang menerusi penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA) 2025.

Pencapaian itu diumumkan pada Majlis Sesi Pembentangan MyRA 2025 anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), yang membentangkan hasil auditan dalaman berasaskan glosari MyRA serta pindaan terkini instrumen oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ketua Auditor MyRA UPSI, Illyas Md Isa berkata laporan audit menunjukkan peningkatan ketara markah hasil kerjasama menyeluruh melibatkan fakulti dan pusat tanggungjawab universiti.

MyRA merupakan instrumen yang mengukur kecemerlangan penyelidikan institusi pengajian tinggi melalui pendekatan analisis berasaskan input, proses dan output (IPO), selain menilai hasil serta impak merangkumi aspek penyelidikan, perundingan, pengkomersialan dan inovasi (4P).

Menurut Naib Canselor UPSI, Md Amin Md Taff, pencapaian membanggakan itu adalah hasil komitmen berterusan semua pihak khususnya di peringkat fakulti dalam memperkukuh budaya penyelidikan universiti.

“Lonjakan ini mencerminkan usaha kolektif warga universiti dalam memastikan setiap aspek penilaian MyRA dipenuhi secara sistematik dan berimpak tinggi,” katanya.

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh RMIC termasuk penganjuran klinik perundingan, bengkel penerbitan, klinik pengkomersialan dan harta intelek serta klinik penyelidikan sebagai strategi mempertingkat pencapaian universiti.

Dalam majlis sama, Naib Canselor turut menyempurnakan sesi pengesahan tandatangan dokumen auditan MyRA 2025 serta penyampaian replika mock cheque kepada fakulti menerusi Anugerah Bintang Fakulti, dengan setiap satu bintang bernilai RM1,000.

Inisiatif pemberian insentif itu bertujuan menggalakkan penglibatan aktif fakulti dalam aktiviti penyelidikan dan 4P di samping memperkukuh daya saing universiti.

UPSI berharap usaha berterusan itu akan terus menyemarakkan kecemerlangan penyelidikan serta meningkatkan reputasi institusi pada masa hadapan.