oleh: Ahmad Thaqif Zainudin, Dr Wan Maslukma Wan Zaharudin
Tanjong Malim, 8 April 2026 – Pada 8 April 2026 bersamaan jam 9.00 pagi, telah berlangsung dengan penuh meriah program Mahabbah Syawal I-FURQAN 2026 bertempat di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Program anjuran Institut Penyelidikan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-FURQAN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini diadakan bersempena meraikan Aidilfitri yang mulia, di samping mengeratkan hubungan ukhuwah dalam kalangan warga I-FURQAN.
Majlis dimulakan dengan alunan tilawah al-Quran yang menenangkan jiwa, sekali gus membuka tirai program dalam suasana penuh keberkatan.
Seterusnya, hadirin disajikan dengan tausiyah yang disampaikan oleh Encik Ah-Luqman Al-Hakim Bin Che Zahari, Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ).


Tausiyah tersebut menyentuh tentang kepentingan memelihara hubungan sesama insan serta menghidupkan nilai mahabbah dalam kehidupan seharian, selari dengan semangat Syawal yang menuntut umat Islam untuk saling bermaafan dan memperkukuh silaturrahim.
Majlis diteruskan lagi dengan ucapan dan amanat daripada Ayahanda Pengarah I-FURQAN, Profesor Abdul Rahman bin Abdul Ghani.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan menjaga adab, menghormati antara pelajar dan pensyarah serta memupuk semangat kekeluargaan dalam komuniti pendidikan.
Amanat tersebut jelas memberi suntikan motivasi kepada para hadirin untuk terus mengamalkan nilai-nilai insaniah dalam kehidupan kampus.
Suasana kemeriahan semakin terasa apabila majlis diteruskan dengan jamuan Hari Raya yang penuh warna-warni. Pelbagai juadah tradisional disajikan, dan gelak tawa yang bergema mencerminkan kegembiraan serta keakraban yang terjalin.
Interaksi santai antara pelajar dan pensyarah memperlihatkan hubungan yang bukan sahaja bersifat akademik, malah diperkukuh dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang.
Semasa berlangsungnya jamuan Hari Raya tersebut, suasana turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Embasherr yang berjaya menambahkan lagi kemeriahan serta menyentuh jiwa para hadirin dengan alunan yang penuh makna.


Tidak ketinggalan, acara cabutan bertuah duit raya turut menceriakan lagi suasana majlis. Keterujaan para peserta jelas terpancar apabila nama-nama bertuah diumumkan, menjadikan program ini lebih hidup dan bermakna.
Secara keseluruhannya, Mahabbah Syawal I-FURQAN 2026 berjaya mencapai objektifnya dalam meraikan Aidilfitri di samping menghidupkan tradisi dan menyulam ukhuwah dalam kalangan warga I-FURQAN.
Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturrahim, malah menjadi platform penting dalam memupuk nilai hormat-menghormati, kasih sayang serta kebersamaan antara pelajar dan pensyarah. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan komuniti yang harmoni dan sejahtera.
