Oleh: Chong Yoke Ming & Dr. Mohd Syariefudin Abdullah

Kuala Lumpur, 26 Jun 2026 – Lapan orang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menyertai Simposium Harmoni yang bertempat di Parlimen Malaysia hari ini.

Program yang dianjurkan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Keharmonian Kaum dan Agama (KRPPM-KKA) dengan kerjasama Architects of Diversity Malaysia (AoD Malaysia) itu telah menjadi medan penting dalam menghimpunkan buah fikiran, membuka ruang dialog serta mencari penyelesaian terbaik dalam memperkukuhkan agenda perpaduan negara, dengan sasaran utama peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan dan NGO, pihak korporat, akademia serta mahasiswa dan belia negara.

Para Peserta UPSI Bergambar Bersama Tokoh-Tokoh Akademik Sains Sosial Malaysia
Dari Kiri ke Kanan: Angielyn Domet, Siti Haslizah, Siti Syarmilah, Chong Yoke Ming, Prof. Dr. Siti Daud, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Heng Jing Hung, Wan Batrisyia Afrina, Siti Nursuhaila & Rineeh Ahongis
Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Malaysia semasa menyampaikan ucapan penggulungan
Sesi bergambar bersama YB Menteri Perpaduan Malaysia

Program tersebut telah bermula dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Tuan Syahredzan Johan, Pengerusi KRPPM-KKA merangkap Ahli Parlimen Bangi, serta ucapan perasmian daripada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Sesi ini diteruskan dengan penyampaian Ucaptama oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Mantan Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM.

“Dalam kita meraikan kepelbagaian, cabaran sebenar adalah kebijaksanaan mencari titik temu demi membina persefahaman dan masa depan negara yang kita kongsi bersama. Cabaran kita adalah untuk mencari titik temu persefahaman sesama kita, kalau isu ini selesai maka impian dan cita-cita membina negara itu akan lebih lancar” ujar Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong semasa menyampaikan ucaptama tersebut.

Suasana Forum 3: Malaysia 100 Tahun: Masa Hadapan Perpaduan Malaysia
Ucapan Penggulungan oleh YB Menteri Perpaduan Malaysia

Program Simposium Harmoni ini turut merangkumi tiga sesi forum berinteraktif yang menyentuh mengenai pelbagai topik keharmonian dan perpaduan kaum di negara kita, seperti cabaran kebebasan bersuara, pengaruh media sosial dan algoritma polarisasi, serta perpaduan di negara kita menjelang 100 Tahun Malaysia.

Secara amnya, ketiga-tiga sesi forum telah menekankan kepentingan untuk memastikan sistem politik dan undang-undang negara, serta masyarakat itu sendiri kekal bersedia dan relevan dengan keperluan negara menjelang 100 tahun Malaysia.

“Kita perlu proses untuk reka bentuk semula sistem kerana dunia dan masyarakat telah berevolusi. Kita tidak boleh bercakap tentang perpaduan jika tidak menangani isu ‘gajah di dalam bilik’. Kita perlukan Malaysia 3.0, kerana sistem sekarang, iaitu Malaysia 2.0, telah melebihi tarikh luput.” ujar Tan Sri Dato’ Seri Nazir Razak, Pengerusi Yayasan Tun Razak semasa forum ketiga bertajuk “Malaysia 100 Tahun: Masa Hadapan Perpaduan Malaysia”.

Akhir sekali, program ini telah diakhiri dengan ucapan penggulungan daripada Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara.

“Perpaduan yang kukuh lahir dari masyarakat yang berbeza agama, budaya dan latar belakang, tetapi saling menghormati dan mencintai demi melihat negara yang lebih aman dan harmoni” ujar beliau.

Delegasi UPSI ke SImposium Harmoni ini telah dianggotai oleh lapan orang mahasiswa tahun akhir pelbagai etnik dari Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Kemanusiaan.

“Bagi saya, program Simposium Harmoni ini merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat kami, kerana sangat seronok untuk menyertai perbincangan peringkat tertinggi mengenai cabaran perpaduan di Malaysia pada masa ini.” kata Siti Haslizah Isning, salah seorang peserta program tersebut semasa ditemubual. “Malah, perkongsian ahli panel telah membuka minda kami untuk melihat sesuatu isu daripada pelbagai sudut dan perspektif, serta menyedarkan kita tentang pentingnya perpaduan dan sikap saling menghormati dalam masyarakat. Saya berharap program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang, dengan penglibatan lebih aktif golongan belia negara.” tambah beliau.