Oleh: Muhammad Asyraaf Najmi Mohd Azman & Intan Suria Hamzah

Kuala Lumpur, 25 April 2026 – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026 kembali menjadi bualan masyarakat di negara Malaysia khususnya dalam kalangan generasi muda.

Perkara ini dapat dibuktikan daripada sambutan yang memberangsangkan sewaktu proses pendaftaran yang berlangsung di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.

Proses pendaftaran di kem Kem Rejimen 515 Askar Wataniah pada sesi kali ini melibatkan pelatih wanita sahaja. Proses pendaftaran berjalan dengan lebih lancar dan teratur daripada sesi yang lepas.

Kehadiran para pelatih muda dari seluruh negara bersama ahli keluarga masing-masing jelas menggambarkan keterujaan dan keyakinan terhadap kesinambungan program yang berperanan membentuk generasi muda yang mempunyai nilai berdisiplin, berjiwa patriotik serta berdaya saing.

Seawal pagi, kawasan pendaftaran mula dipenuhi para pelatih yang hadir dengan semangat berkobar-kobar untuk memulakan perjalanan baharu dalam kehidupan mereka.

Wajah-wajah ceria, senyuman penuh harapan dan semangat ingin mencuba sesuatu yang baharu dapat dilihat sepanjang proses pendaftaran berlangsung.

Walaupun terdapat segelintir pelatih yang kelihatan sedikit gementar, namun perasaan tersebut berjaya diatasi dengan dorongan semangat yang diberikan oleh kalangan ahli keluarga mereka.

Juga terlibat adalah rakan-rakan pelatih yang juga datang sewaktu proses pendaftaran ini bagi memberi semangat dan motivasi kepada rakan mereka yang bakal menjadi wira muda negara.

Pertemuan dalam kalangan pelatih yang hadir daripada pelbagai negeri, latar belakang dan budaya turut mencetuskan suasana harmoni yang amat bermakna.

Hal ini kerana sewaktu proses pendaftaran, hanya pelatih sahaja yang dibenarkan untuk menguruskan proses pendaftaran serta proses semakan barangan dan perlatan tanpa dibantu oleh ahli keluarga mereka.

Pada waktu ini, dapat dilihat bahawa pelatih mula berkenalan, berinteraksi dan menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu yang bakal menjadi medan pembentukan jati diri serta pengalaman berharga sepanjang tempoh latihan nanti.

Situasi ini membuktikan bahawa PLKN 3.0 bukan sahaja sebuah program latihan, malah menjadi platform penyatuan anak muda Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Pada hari tersebut, ahli keluarga pelatih tidak merasa bimbang melepaskan anak mereka untuk berdikari dalam segala proses pendaftaran kerana para jurulatih serta petugas PLKN 3.0 menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi sepanjang proses pendaftaran berlangsung.

Segala urusan dokumentasi dilaksanakan secara tersusun dan penerangan yang jelas serta layanan profesional berjaya mewujudkan suasana yang teratur dan selesa kepada semua pihak.

Bahkan sewaktu tiba sahaja pelatih dan ahli keluarga di kem ini, kesemua petugas PLKN 3.0 yang terlibat telah memberi layanan yang terbaik untuk memastikan kelancaran dan kelangsungan pada hari tersebut. Kesungguhan warga pengurusan ini memberi keyakinan bahawa aspek keselamatan, kebajikan dan pembangunan pelatih sentiasa menjadi keutamaan bagi mereka.

Seterusnya, suasana pendaftaran PLKN 3.0 Siri 2/2026 turut memperlihatkan semangat perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara. Kehadiran pelatih daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak menggambarkan keunikan masyarakat majmuk Malaysia.

Perkara ini memberikan mereka peluang untuk membina persahabatan baharu, belajar memahami budaya antara satu sama lain dan menyemai nilai toleransi yang amat penting dalam kehidupan bermasyarakat sepanjang berada di dalam kem. Perkara ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi perpaduan di kalangan pelatih.

Pada masa yang sama, proses pendaftaran PLKN 3.0 Siri 2/2026 ini bukan hanya dilakukan di Kem Renjimen 515 Askar Wataniah Kuala Lumpur sahaja. Akan tetapi, melibatkan juga Kem Renjimen 505 Askar Wataniah Pekan Pahang serta pusat laithan yang baharu dibuka iaitu di Kem CLKN Malbatt Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kesahihan pembukaan kem baharu di Negeri Sembilan itu telah dipaparkan secara rasmi di laman web rasmi PLKN 3.0 serta dikongsikan oleh pegawai-pegawai tertinggi kepada penulis semasa berada di Kem Kuala Lumpur. Hal ini disebabkan oleh sebanyak 1,350 pelatih dijangka hadir untuk menyertai PLKN 3.0 melalui sistem ePLKN.

Maka, penambahan kem baharu di Malbatt Village membolehkan JLKN meningkatkan kapasiti pengambilan pelatih, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai belia negara untuk menyertai PLKN 3.0 secara berperingkat pada tahun ini.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pelaksanaan PLKN 3.0 terus menjadi wadah penting dalam melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi fizikal, mental dan sahsiah. Program ini bukan sahaja menekankan latihan ketahanan diri, malah turut memupuk semangat cintakan negara, tanggungjawab sosial dan nilai kepimpinan dalam kalangan pelatih.

Secara keseluruhannya, suasana pendaftaran PLKN 3.0 Siri 2/2026 menjadi simbol permulaan kepada perjalanan besar para pelatih dalam membina masa depan diri dan negara. Dengan sokongan padu oleh keluarga, komitmen jurulatih serta semangat tinggi para pelatih, program ini diyakini mampu melahirkan lebih ramai wira muda yang berdaya tahan, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada tanah air tercinta.