Oleh: Che Muhammad Hanif Che Zahari, Ummie Yasirah Ridzuan, Dr. Muhammad Nazirul Mohd Sabri dan Dr. Wan Maslukma Wan Zaharudin
Masjid Al-Mursyidin, 8 dan 14 April 2026 – Seramai lapan puluh tujuh orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengahadiri Program Pengajian Kitab Safinah siri 7 dan 8 di bahagian koridor masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.
Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Islam, Waqaf, Endowment, Zakat, Khairat dan Sadaqah (WEZAS), Al-Mursyidin Club, Kolej Ungku Omar, Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat, Persatuan Bahasa Arab dan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA).
Program Pengajian Kitab Safinah merupakan satu inisiatif ilmiah yang signifikan dalam usaha memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), khususnya di bawah Jabatan Pengajian Islam (JPI).
Berteraskan pendekatan pengajian kitab safinah yang berperingkat dan sistematik, program ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui enam siri terdahulu pada 7 dan 14 November 2025, 9 dan 16 Disember 2025 serta 8 dan 15 Januari 2026.
Kesinambungan pengajian ini diteruskan lagi melalui sesi seterusnya pada 8 dan 14 April 2026, dengan penekanan kepada pembinaan asas ilmu yang lebih mantap dan berstruktur.



Pelaksanaan program ini bukan sahaja berperanan sebagai medan penyampaian ilmu, bahkan turut menjadi wadah dalam memupuk budaya keilmuan yang berterusan serta mempererat ukhuwah antara barisan pimpinan dan mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Di samping itu, program ini menyediakan ruang kepada mahasiswa/i baharu untuk mengenali sistem pembelajaran serta menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan kampus secara lebih holistik.
Program ini juga berfungsi sebagai platform yang menggalakkan penglibatan aktif ahli Persatuan Pendidikan Islam (PPI), selari dengan usaha memperkasa aktiviti keilmuan dan pembangunan sahsiah di peringkat universiti.
Dalam pengajian Kitab Safinah Siri 7 dan 8, peserta mempelajari topik tayammum bermula daripada syarat-syarat hingga kepada fardu tayammum.
Syarat tayammum berjumlah sepuluh perkara, dan setiap satunya telah dihuraikan oleh Dr. Nazirul secara terperinci agar peserta dapat memahaminya dengan jelas.
Sebagai contoh, salah satu syarat tayammum ialah debu tanah yang digunakan mestilah suci. Menurut penerangan beliau, tanah tersebut hendaklah bersih dan tidak bercampur dengan unsur najis. Contohnya, tanah yang bercampur dengan najis seperti daripada kubur yang mengandungi sisa mayat tidak sah digunakan untuk tayammum.


Seterusnya, Dr. Nazirul turut menerangkan tentang fardu tayammum, antaranya ialah niat. Sekiranya seseorang berniat untuk menunaikan solat jenazah, maka tayammum tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan tertentu sahaja dan tidak untuk semua jenis ibadah.
Selain itu, sesi pengajian ini turut diselitkan dengan sesi soal jawab interaktif bagi memberi ruang kepada mahasiswa/i mengemukakan persoalan, mendapatkan penjelasan lanjut serta memperkukuh kefahaman terhadap topik yang dibincangkan. Pendekatan ini secara tidak langsung menggalakkan penglibatan aktif peserta dan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik serta berkesan.


Tuntasnya, program ini berupaya merealisasikan hasrat UPSI dalam melahirkan guru yang memiliki nilai bitara, di samping membentuk mahasiswa/i yang berilmu pengetahuan mendalam dalam bidang agama serta mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
