Oleh: Dr. Asif Mohiuddin
TANJONG MALIM – Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan sebuah webinar antarabangsa dengan kerjasama Dublin City University (DCU) pada 28 April 2026. Webinar yang berlangsung selama lebih dua jam itu berjaya mencuri tumpuan apabila menarik penyertaan luar biasa melibatkan lebih 400 peserta dari pelbagai latar belakang akademik.
Wacana ilmu bertajuk “Pendidikan Moral di Malaysia dan Ireland: Nilai, Pendekatan, dan Cabaran” ini telah dikendalikan oleh Dr. Asif Mohiuddin selaku moderator. Sesi tersebut menampilkan dua tokoh akademik berwibawa dalam bidang Pendidikan Moral iaitu Profesor Madya Dr. Nadarajan Thambu (Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Dr. Niamh McGuirk (Dublin City University).
Perkongsian strategik ini memberi peluang kepada para peserta untuk mendalami naratif pelaksanaan Pendidikan Moral dalam konteks silang budaya antara Malaysia dan Ireland. Menurut Dr. Niamh McGuirk, kolaborasi rentas sempadan seperti ini merupakan pemangkin kepada pemerkasaan kurikulum. Beliau menekankan bahawa ruang dialog ini membolehkan kedua-dua pihak saling mempelajari pendekatan unik serta mencari solusi terhadap cabaran global dalam pendidikan nilai.
Sementara itu, Profesor Madya Dr. Nadarajan menegaskan bahawa pendedahan terhadap model luar negara memberikan perspektif yang lebih luas kepada pendidik tempatan. Beliau menyatakan matlamat utama Pendidikan Moral adalah untuk melahirkan insan yang holistik. Melalui perkongsian pengalaman antarabangsa, dapat memperkukuh lagi kaedah bagi memastikan nilai-nilai murni ini diterjemahkan secara berkesan dalam sahsiah pelajar.
Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan UPSI dalam memacu kecemerlangan pendidikan karakter di peringkat global, sekaligus memperkukuh hubungan diplomatik akademik antara Malaysia dan Ireland.
