Oleh: Aqeelah Ibrahim Yim
Tanjong Malim, 21 April 2026 – Program Street Dakwah anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menyemarakkan suasana kampus pada waktu malam melalui pendekatan santai yang sarat dengan pengisian rohani. Program yang berlangsung dari jam 9.00 malam hingga 10.30 malam ini telah diadakan di sekitar Kafe KHAR, Kafe KUO serta kawasan pasar malam berhampiran Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah.
Seramai 54 orang mahasiswa UPSI bersama tiga orang awam telah disantuni oleh 21 orang ahli KeSUA melalui pendekatan yang mesra, berhikmah serta dekat dengan realiti kehidupan mahasiswa.



Pengisian pada kali ini mengetengahkan topik “Adab Bertayamum”, yang sebelum ini telah diperkenalkan dalam sesi modul mingguan. Topik tersebut kemudiannya dibawa ke lapangan sebagai usaha memperkukuh kefahaman dan penghayatan mahasiswa melalui interaksi secara bersemuka dan lebih praktikal.
Pendekatan yang diaplikasikan bukan sahaja santai, malah merangkumi perbualan ringan, perkongsian refleksi, tazkirah ringkas serta teguran berhemah berkaitan kepentingan adab dalam menuntut ilmu. Penyampaian ini menjadi lebih signifikan apabila disasarkan kepada mahasiswa UPSI, khususnya bakal pendidik yang bakal memikul amanah besar dalam dunia pendidikan.
Suasana persekitaran kolej yang sentiasa aktif pada waktu malam turut membuka ruang kepada interaksi spontan bersama mahasiswa. Mereka yang disapa mengambil peluang untuk bertanya, berkongsi pandangan serta mendapatkan nasihat, sekali gus menjadikan sesi ini lebih interaktif dan berimpak tinggi.



Selain itu, program ini turut berperanan sebagai platform pembangunan diri ahli KeSUA dalam mengasah kemahiran komunikasi berkesan, memupuk empati sosial serta mempraktikkan adab berdakwah secara lapangan. Maklum balas yang diterima daripada mahasiswa menunjukkan bahawa program ini membantu mereka menilai semula pendekatan dalam menuntut ilmu di samping membentuk sahsiah diri yang lebih beradab.
Program ini melabuhkan tirainya pada jam 10.30 malam dalam suasana penuh kesyukuran serta meninggalkan impak kesedaran baharu dalam kalangan sukarelawan dan mahasiswa yang terlibat.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini membuktikan bahawa pendekatan dakwah yang santun dan berhikmah mampu menyentuh hati, seterusnya membentuk peribadi mahasiswa yang lebih matang, berakhlak mulia serta bersedia menjadi pendidik yang membawa manfaat kepada masyarakat.

