Oleh: Muhammad Nur Hakim Lahasi
Tanjong Malim, 24 Disember 2025 – Cuti sekolah dimanfaatkan sebaiknya menerusi penganjuran Program Caliph Camp 6.0: Fun and Learn!, yang tampil sebagai platform pembangunan sahsiah dan potensi kanak-kanak serta remaja melalui pendekatan pembelajaran holistik merangkumi aspek rohani, intelek dan kreativiti dalam suasana santai serta menyeronokkan.
Program selama tiga hari yang berlangsung dari 22 hingga 24 Disember 2025 ini dianjurkan oleh Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melibatkan penyertaan 25 kanak-kanak yang dibimbing oleh fasilitator terlatih melalui pengisian berstruktur dan berimpak.
Seawal hari pertama, peserta disatukan menerusi sesi Ice Breaking dan Taaruf yang bertujuan membina keyakinan diri, mengeratkan ukhuwah serta memupuk semangat kerjasama. Pendekatan santai ini berjaya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan mesra sepanjang program berlangsung.
Aspek pembinaan rohani diberi penekanan melalui slot Jom Mengaji dan Jom Solat, yang membimbing peserta memahami serta menghayati amalan ibadah secara praktikal. Elemen kreativiti pula diketengahkan menerusi modul Art to Heart, yang membuka ruang ekspresi emosi dan imaginasi melalui aktiviti seni, sekali gus menyumbang kepada perkembangan emosi positif dan keyakinan diri peserta.




Hari kedua menyaksikan penerokaan awal dunia sains melalui slot Plankton Quantum, yang memperkenalkan konsep asas tenaga dan fenomena alam secara eksperimen interaktif. Aktiviti pembelajaran ini disusuli dengan pendedahan bahasa menerusi slot Mandarin Click, serta pengukuhan elemen STEM melalui modul Biologi (Fosil) yang memberi pengalaman pembelajaran berasaskan eksperimen.
Hari terakhir program dimeriahkan dengan aktiviti sukaneka berkumpulan yang menekankan nilai kepimpinan, kerjasama dan semangat kesukanan. Suasana penuh keceriaan jelas terpancar melalui gelak tawa dan sorakan peserta, mencerminkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan serta bermakna.
Dalam majlis penutup, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh menegaskan bahawa Caliph Camp bukan sekadar program pengisian cuti sekolah, sebaliknya sebuah usaha strategik dalam membentuk generasi muda yang seimbang dan berdaya tahan.
“Caliph Camp dirangka bagi menyemai nilai asas Ulul Albab sejak usia awal, iaitu generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga kukuh dari segi rohani, emosi dan sahsiah. Pendekatan pembelajaran bersepadu seperti ini amat penting dalam mendepani cabaran pendidikan masa kini,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Program, Nor Hayati Aziz, menyifatkan kejayaan penganjuran Caliph Camp 6.0 sebagai hasil kerjasama erat antara penganjur, fasilitator dan sokongan ibu bapa.
“Program ini dirancang dengan penuh teliti agar setiap pengisian memberi makna dan pengalaman berharga kepada peserta. Harapan kami agar nilai, ilmu dan kenangan yang diperoleh sepanjang Caliph Camp ini dapat dibawa pulang dan diamalkan dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Program diakhiri dengan slot refleksi Kalimah Akhirah serta majlis penyampaian hadiah sebagai tanda penghargaan kepada para peserta atas komitmen dan penglibatan aktif mereka sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhan, Caliph Camp 6.0 membuktikan bahawa pembelajaran yang digabungkan dengan elemen keseronokan, nilai agama, sains dan kreativiti mampu menjadi medium berkesan dalam membentuk generasi muda yang seimbang, berakhlak mulia dan berdaya saing, selari dengan aspirasi melahirkan generasi Ulul Albab sejak usia awal.
