Sesi fotografi bersama ahli jawatankuasa program, peserta, anak-anak Darul Hikmah dan tetamu jemputan
Oleh: Aqeelah Ibrahim Yim
Gopeng, 14 Disember 2025– Program Kembara Kasih: Dari Hati ke Hati anjuran Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan penuh makna di Pertubuhan Rumah Anak Yatim/Miskin Darul Hikmah, Gopeng. Program ini melibatkan seramai 20 orang mahasiswa UPSI bersama 40 orang anak-anak, bertujuan menyemai nilai kasih sayang, empati dan semangat kebersamaan melalui aktiviti khidmat masyarakat yang berimpak.
Bas bertolak dari kampus seawal 7.00 pagi dan program dimulakan secara rasmi pada 9.30 pagi dengan senamrobik bagi menceriakan suasana serta memupuk keserasian antara mahasiswa dan anak-anak. Aktiviti ini disusuli dengan sesi ice breaking sebelum peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk memastikan interaksi yang lebih dekat dan bermakna.




Antara pengisian utama program ialah explorace berpasukan yang dijalankan sekitar kawasan premis. Aktiviti ini bukan sahaja mencabar fizikal dan minda, malah berjaya memupuk kerjasama, komunikasi serta semangat saling membantu antara peserta tanpa mengira latar belakang.




Program diteruskan dengan makan tengah hari bersama serta solat berjemaah, yang secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana yang tenang dan harmoni. Seterusnya, peserta terlibat dalam aktiviti kraftangan, di mana anak-anak dan mahasiswa menghasilkan hasil kreatif sebagai kenang-kenangan daripada program tersebut.
Selepas aktiviti kraftangan, program diteruskan dengan sesi motivasi yang dikendalikan oleh kolaborasi program, Kelab Sahabat Ulul Albab. Sesi ini memberi penekanan kepada kepentingan pendidikan, keyakinan diri serta keberanian untuk bermimpi besar. Pendekatan yang santai dan menyentuh emosi menjadikan pengisian motivasi ini dekat di hati anak-anak serta memberi dorongan untuk mereka terus berusaha mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Program melabuhkan tirainya sekitar 5.00 petang dengan sesi penyampaian hadiah dan fotografi, meninggalkan kenangan bermakna serta senyuman di wajah semua yang terlibat.
Secara keseluruhannya, Kembara Kasih: Dari Hati ke Hati membuktikan bahawa hubungan yang terjalin melalui keikhlasan dan kebersamaan mampu memberi impak yang mendalam. Program ini bukan sekadar sebuah lawatan, tetapi satu pengalaman berharga yang mempertemukan mahasiswa dan anak-anak dalam semangat kemanusiaan, kasih sayang dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah.
