Oleh: Safika Amat

UPSI, 21 Disember 2025 – Kejayaan mendominasi dua kategori baharu Aerodance dan Boria menjadi pemangkin kepada pencapaian cemerlang Kolej Ungku Omar (KUO) apabila dinobatkan sebagai Naib Juara Keseluruhan Festival Kesenian dan Kebudayaan Kolej-Kolej Kediaman UPSI 2025 (FREKUENSI ’25), sekali gus mencatat kebangkitan memberangsangkan selepas menduduki tempat keenam pada edisi tahun lalu.

Festival tiga hari ini telah berlangsung dari 19 hingga 21 Disember 2025, bertempat di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki dan beberapa lokasi lain di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), dengan penyertaan pelajar dari semua kolej kediaman UPSI dan luar kampus termasuk Kolej Antarabangsa.

KUO mencatat pencapaian cemerlang dalam 11 kategori kebudayaan yang dipertandingkan, termasuk:

  • Johan Syair Duo – Ainul & Ariz
  • Johan Nyanyian Solo – Awish
  • Johan Boria – Seri Mutiara KUO
  • Johan Aerodance – Aura Celestia
  • Naib Johan Nyanyian Lelaki – Alamgir
  • Naib Johan Dikir Barat – Kumpulan Sukma Wesesa
  • Naib Johan Drama Sebabak – Kekacip Kekicap
  • Tempat Ketiga Tarian Zapin – Ratna Sari
  • Tempat Ketiga Nasyid – Shoutun Najwan

Manakala Sajak Duo (Sharee dan Jaidin), Kompang Formasi (Gema Astana) dan Battle of the Band (Rentak Bara) masing-masing menduduki kedudukan keempat.

Kejayaan mendominasi kedua-dua kategori baharu Aerodance dan Boria membuktikan keupayaan KUO menyesuaikan diri dengan kepelbagaian cabang seni moden dan tradisional secara seimbang. Secara keseluruhan, KUO berjaya meraih 4 Johan, 3 Naib Johan dan 2 Tempat Ketiga, melonjakkan kedudukan kolej daripada tempat keenam keseluruhan pada FREKUENSI 2024, menjadikan FREKUENSI ’25 sebagai pentas kebangkitan yang amat luar biasa.

Sebanyak 11 acara dipertandingkan pada edisi kali ini: Kompang Formasi, Battle of the Band, Syair Duo, Sajak Duo, Nyanyian Solo, Drama Sebabak, Tarian Zapin, Aerodance, Nasyid, Dikir Barat dan Boria. Kepelbagaian acara ini mencerminkan keterangkuman elemen kesenian tradisional dan kontemporari dalam kalangan mahasiswa UPSI.

Kejayaan ini jelas mencerminkan komitmen tinggi, perancangan strategik serta latihan berterusan yang dilaksanakan oleh warga Kolej Ungku Omar melibatkan peserta, jurulatih dan barisan penggerak kolej yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sepanjang tempoh persiapan.

Dalam Majlis Penutupan FREKUENSI ’25, Prof. Dr. Mohd Nizam Hj. Nasrifan, Pengerusi Majlis Pengetua UPSI yang juga merupakan Pengetua Kolej Ungku Omar, merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang yang berjaya pada edisi kali ini. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada tuan rumah, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) serta seluruh jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus memastikan kelancaran penganjuran festival tersebut.

“Sebagai Exco Warisan Seni dan Budaya, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Kolej Ungku Omar termasuk Pengetua, staf kolej, felo-felo kolej, Majlis Mahasiswa Kolej, dan semua PIC bagi setiap kategori pertandingan. Dedikasi tanpa jemu, semangat yang membara dan usaha kalian yang tidak mengenal penat lelah telah menjadi nadi kejayaan ini. Jasa semua ibarat cahaya yang menyalakan kembali nama Kolej Ungku Omar ke puncak gemilang dalam pentas kesenian dan kebudayaan UPSI, dan menjadi inspirasi yang akan terus membimbing generasi akan datang,” ujar Saudara Leo dan Saudari Safiya, Exco Warisan Seni dan Budaya KUO.

Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian piala dan anugerah kepada Juara Keseluruhan (KAHS) dan para pemenang setiap kategori. Festival ini terus berperanan sebagai platform penting dalam mencungkil bakat serta menggilap potensi mahasiswa UPSI dalam bidang kesenian dan kebudayaan selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Kolej Ungku Omar berharap kejayaan sebagai Naib Juara Keseluruhan FREKUENSI ’25 ini dapat menjadi pemangkin semangat untuk terus melakar kecemerlangan dan kembali merebut gelaran juara keseluruhan pada penganjuran festival akan datang.