Oleh: Luqman Zainal, Dr Kama Shaffeei

Tanjong Malim, 12 Disember 2025 – Sekolah Seri Budiman telah menganjurkan Majlis Aspiration Awards Ceremony 2025 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Muallim Scholar Suites, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Majlis yang bertemakan kepelbagaian etnik ini diadakan bagi menghargai serta mengiktiraf pencapaian cemerlang murid-murid dalam bidang akademik, sahsiah, KAFA dan kepimpinan sepanjang tahun persekolahan 2025.

Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran para tetamu kehormat, antaranya Yang Berhormat Naib Canselor UPSI Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Ahli Majlis Daerah Tanjong Malim CLR Haji Malek Farouk bin Zainal Abidin, Timbalan Naib Canselor UPSI Profesor Dr. Suriani Binti Abu Bakar, Penolong Pegawai Pendidikan (Pendidikan Swasta) daerah Muallim En. Mohd Irwan bin Manshur, Pengurus UPSI Holdings En. Mohammad Izzuddin bin Zakaria, Presiden Parent Support Group (PSG) En. Norazam bin Mat Esa serta Chief of Education Dr. Kama bin Shaffeei. Turut hadir rakan strategik Sekolah Seri Budiman En Jamali, Pinkast Corporation Sdn. Bhd., Dr. Navvarathnam Ketua Pegawai Clevera Sdn. Bhd., guru-guru, ibu bapa serta murid-murid Sekolah Seri Budiman yang bersama-sama memeriahkan majlis.

Tema etnik yang dipilih telah menambahkan lagi keunikan dan keindahan majlis apabila murid-murid serta warga sekolah mengenakan busana tradisional pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya serta semangat perpaduan dalam kalangan warga Sekolah Seri Budiman. Suasana majlis yang harmoni dan penuh warna-warni ini jelas menyerlahkan nilai saling menghormati dan kebersamaan.

Sepanjang majlis berlangsung, lebih 50 orang murid telah menerima anugerah merangkumi Kategori Akademik Cemerlang, Sahsiah Terpuji dan Kepimpinan Murid. Penyampaian anugerah ini bukan sahaja bertujuan memberi pengiktirafan kepada murid yang berjaya, malah menjadi sumber motivasi kepada seluruh murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan secara holistik.

Ucapan dan amanat yang disampaikan oleh para tetamu kehormat turut menekankan kepentingan pembentukan sahsiah unggul, kepimpinan beretika serta kecemerlangan akademik yang seimbang, sejajar dengan aspirasi pendidikan negara. Majlis ini sekali gus membuktikan komitmen Sekolah Seri Budiman dalam melahirkan murid yang berilmu, berakhlak mulia dan beridentiti nasional.

Secara keseluruhannya, Majlis Aspiration Awards Ceremony 2025 bertemakan Etnik telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan penuh bermakna. Diharapkan penganjuran majlis seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform penghargaan dan inspirasi, seterusnya menyemai semangat kecemerlangan serta perpaduan dalam kalangan murid Sekolah Seri Budiman.