Oleh: Nur Sufi Najiha dan Nor Hayati Aziz
TANJONG MALIM, 13 Oktober 2026 – Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terus memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa holistik menerusi penganjuran Program Pensijilan Profesional Ulul Albab (Tahap Lanjutan) Siri Ke-8 yang berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober 2026 di Blok C, Kolej Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), UPSI.
Program selama tiga hari itu melibatkan seramai 30 mahasiswa dengan memberi penekanan kepada penghayatan dan pengaplikasian Model Ulul Albab yang berteraskan tiga komponen utama, iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI). Inisiatif ini merupakan kesinambungan program pensijilan terdahulu dalam usaha membentuk mahasiswa yang bukan sahaja menguasai ilmu, malah mempunyai keutuhan sahsiah, pemikiran kritis, daya kreativiti dan keupayaan menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran semasa.
Pengisian program dirangka secara bersepadu melalui aktiviti pembentukan karakter, pemikiran saintifik, penghayatan al-Quran, penyelesaian masalah dan pembelajaran berasaskan pengalaman. Pendekatan ini memberi ruang kepada peserta untuk menghubungkan pengetahuan dengan amalan, di samping memperkukuh peranan mereka sebagai bakal pemimpin dan khalifah profesional yang berintegriti serta bertanggungjawab kepada masyarakat.
Menerusi slot Karakter Modal Insan yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Khairul Azman Hj. Ajuhary, peserta didedahkan kepada lima peranan insan, iaitu mudarris, muallim, murabbi, mursyid dan muaddib. Pengisian ini menekankan kepentingan mengimbangi kecemerlangan intelektual dengan pembentukan adab, akhlak, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.



Aspek pemikiran saintifik pula diterapkan melalui slot Jeel Saintifik Ulul Albab yang turut dikendalikan oleh beliau. Peserta dibimbing untuk menganalisis maklumat, menilai fakta dan membuat pertimbangan secara sistematik serta rasional berlandaskan panduan al-Quran. Pendedahan terhadap hubungan antara ilmu wahyu dengan ilmu sains turut menggalakkan peserta mengembangkan daya penaakulan dan menilai sesuatu isu secara kritis serta beretika.
Dimensi Quranik diperkukuh menerusi slot Pujaan Tertinggi yang disampaikan oleh Dr. Samsuddin Abd Hamid. Berpandukan modul Pujangga Tertinggi, peserta meneroka keindahan bahasa, kesusasteraan, seni dan nilai falsafah al-Quran, termasuk perbincangan berkaitan 16 ayat Ulul Albab. Aktiviti perbincangan dan pembentangan berkumpulan memberi peluang kepada peserta menghubungkan penghayatan al-Quran dengan pembentukan pemikiran, nilai dan amalan kehidupan seharian.
Sementara itu, komponen Ijtihadik diperkasakan melalui slot Kenali Masalah & Penyelesaian yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Che Ghani Che Kob. Peserta didedahkan kepada kaedah mengenal pasti permasalahan, menganalisis punca, menjana alternatif dan membangunkan idea kreatif serta inovatif. Pendekatan ini menggalakkan mahasiswa menilai sesuatu isu daripada pelbagai perspektif sebelum menghasilkan cadangan penyelesaian yang praktikal dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
Komponen Ensiklopedik pula diterapkan menerusi slot Cyclo Race-Reflect kendalian Dr. Robe’ah Yusuf dan Puan Marinah Mohd Sani. Berteraskan pendekatan Problem-Based Learning (PBL) dan pembelajaran berasaskan pengalaman, peserta bekerjasama membangunkan permainan pendidikan sebelum mengujinya melalui aktiviti Cyclo Race yang melibatkan beberapa stesen.
Selain mengaplikasikan pengetahuan, peserta turut menilai keaslian, kesesuaian, keberkesanan dan keupayaan permainan dalam merangsang pemikiran. Aktiviti refleksi dan pembentangan membolehkan mereka mengenal pasti kekuatan serta ruang penambahbaikan, sekali gus mengembangkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, pemikiran kritis dan kreativiti. Peperiksaan turut dilaksanakan bagi menilai tahap kefahaman dan penguasaan peserta terhadap kandungan program.
Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, berkata pembangunan generasi Ulul Albab memerlukan pendekatan pendidikan yang menyepadukan ilmu, nilai dan amalan bagi melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi intelektual, sahsiah dan keupayaan menyumbang kepada masyarakat
“Matlamat pendidikan Ulul Albab bukan sekadar melahirkan mahasiswa yang berpengetahuan, tetapi membentuk insan yang mampu mengintegrasikan ilmu dengan akhlak dan tindakan. Melalui komponen Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik, mahasiswa berpeluang membina kefahaman berteraskan al-Quran, memperluas pengetahuan serta mengembangkan keupayaan menghasilkan penyelesaian yang kreatif, rasional dan bertanggungjawab.
“Kami berharap pengalaman pembelajaran ini dapat diterjemahkan dalam kehidupan sebenar, khususnya melalui amalan berintegriti, kesediaan memimpin dan komitmen untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat,” katanya.
Wakil peserta, Siti Norbahiyah Yaacob pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains, semester 5 pula menyifatkan program berkenaan sebagai platform pembelajaran yang membantu mereka memahami Model Ulul Albab secara lebih mendalam melalui pengalaman praktikal dan kolaboratif.
“Program ini membuka ruang kepada kami untuk menghubungkan ilmu dengan situasi sebenar. Aktiviti yang dilaksanakan melatih kami berfikir secara kritis, bekerjasama menyelesaikan masalah dan lebih yakin mengemukakan idea. Pengalaman ini menyedarkan kami bahawa mahasiswa Ulul Albab bukan sahaja perlu menguasai ilmu, tetapi turut perlu mengamalkan adab, integriti dan tanggungjawab sosial,” katanya.
Secara keseluruhannya, penganjuran program ini mencerminkan komitmen PUA UPSI dalam memperkasa pembangunan mahasiswa melalui integrasi ilmu wahyu, keluasan pengetahuan dan keupayaan berijtihad. Inisiatif ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang berilmu, berakhlak, berdaya saing dan inovatif, serta bersedia memainkan peranan sebagai pemimpin masa hadapan dalam menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.

