Shah Alam, 28 Disember 2025 – Seramai 47 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Program Ulul Albab Peringkat Dua Kohort 14 (P2K14) yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Disember lalu, sebagai usaha berterusan Pusat Ulul Albab UPSI melahirkan pemimpin mahasiswa yang seimbang dari aspek spiritual, intelektual dan kepimpinan.

Program utama Pusat Ulul Albab itu dilaksanakan dalam bentuk latihan intensif serta pembelajaran secara hands-on, dengan penekanan kepada pembentukan kepimpinan holistik berasaskan tiga elemen utama Model Ulul Albab, iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Peserta program terdiri daripada mahasiswa terpilih UPSI yang dikenal pasti berdasarkan komitmen aktif mereka dalam program pembangunan sahsiah seperti Weekly with KeSUA dan Street Dakwah.

Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh, berkata program tersebut menjadi medan penting dalam membentuk pemimpin mahasiswa yang bukan sahaja berdaya saing, malah berpaksikan nilai ketuhanan.

“Kepimpinan Ulul Albab bukan sekadar kemahiran mengurus dan memimpin, sebaliknya bermula dengan hubungan yang kukuh dengan Allah SWT. Apabila al-Quran dan Sunnah dijadikan asas dalam membuat keputusan, maka lahirlah pemimpin yang berintegriti, berhikmah dan berjiwa besar,” katanya ketika menyampaikan slot Leadership Skills: Kenali Diri, Gilap Potensi, Bina Identiti.

Beliau turut menegaskan bahawa cabaran dalam kepimpinan perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh jati diri serta menyesuaikan gaya kepimpinan mengikut konteks dan keperluan semasa.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan Pusat Ulul Albab, Nor Hayati Aziz, berkata Program Ulul Albab Peringkat Dua (P2K14) berperanan sebagai jambatan penting antara pembangunan teori dan aplikasi sebenar dalam masyarakat.

“Program ini dirangka secara sistematik bagi memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai realiti kepimpinan di lapangan. Menerusi Projek Sahabat, peserta bukan sahaja belajar merancang program, malah turun menyantuni komuniti serta menyampaikan dakwah dengan hikmah,” katanya.

Pada hari kedua program, peserta didedahkan dengan elemen Ijtihadik melalui slot Membangun Pemikiran Kritis dan Hikmah Pelajar Ulul Albab yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Nor Mamat. Beliau menekankan kepentingan pemikiran kritis dan kesedaran spiritual dalam kepimpinan, dengan mengaitkan konsep ijtihad sebagai asas kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

“Daripada kita mencari masjid, lebih baik kita menjadikan setiap tempat itu seperti masjid,” katanya, sebagai simbol kepentingan solat dan kesedaran ketuhanan dalam setiap aspek kehidupan seorang pemimpin.

Program diteruskan dengan pengisian elemen Ensiklopedik menerusi slot NLP untuk Mahasiswa Cemerlang: Strategi Minda, Bahasa dan Tingkah Laku bersama Norrul Izuhan Shafri, master coach NLP Malaysia, yang memberi pendedahan mengenai teknik mengenal potensi diri serta kemahiran komunikasi berkesan dalam konteks dakwah dan kepimpinan mahasiswa.

Hari terakhir program diserikan dengan sesi Tadabbur Alam di Taman Botani Malaysia, Shah Alam, yang menyaksikan peserta menghasilkan video refleksi alam sekitar dengan mengaitkan keindahan ciptaan Allah SWT melalui Asma’ul Husna atau ayat-ayat al-Quran. Hasil karya tersebut akan dikompilasikan dan dikongsikan menerusi platform media sosial Pusat Ulul Albab sebagai medium dakwah kreatif.

Secara keseluruhan, Program Ulul Albab P2K14 berjaya memperkukuh kefahaman peserta terhadap konsep kepimpinan berteraskan nilai Islam serta meningkatkan keupayaan mereka mengaplikasikan prinsip Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik dalam pengurusan diri, organisasi serta masyarakat.

Program ini diyakini menjadi pemangkin kepada kelahiran generasi Khalifah Profesional yang mampu menyumbang secara bermakna kepada agama, bangsa dan negara.