Oleh: Puteri Wahyu Aztemah

TANJONG MALIM, 8 Januari 2026– Program Munajat Ilmuwan anjuran bersama Pusat Ulul Albab (PUA) dan Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung penuh penghayatan di Surau An-Nur, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, sebagai persediaan rohani pelajar menjelang fasa penilaian akademik.

Program kerohanian itu menghimpunkan kira-kira 100 pelajar dan bertujuan memberi pengukuhan spiritual serta ketenangan emosi dalam menghadapi peperiksaan akhir. Penganjur menekankan kepentingan keseimbangan antara usaha akademik dan kekuatan rohani dalam membina jati diri pelajar.

Majlis menampilkan pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Ustaz Muhammad Hasbi Abdul Rahman sebagai penceramah utama. Dalam pengisiannya, beliau menegaskan kejayaan seorang pelajar bukan sahaja bergantung kepada usaha, malah perlu disertai kekuatan hubungan dengan Allah SWT serta penghayatan al-Quran sebagai sumber ketenangan dan panduan hidup.

Bacaan Surah Yasin dipimpin oleh Muhammad Nur Hakim Lahasi
Perasmian oleh Pengetua UKLK, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob

Program dimulakan dengan bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh Muhammad Nur Hakim Lahasi, ahli KeSUA, diikuti solat Maghrib, Isyak dan solat hajat secara berjemaah. Pengisian tersebut menjadi medan munajat memohon ketenangan, keberkatan ilmu dan kemudahan dalam urusan pembelajaran.

Majlis turut dirasmikan Pengetua UKLK, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob yang menyatakan sokongan terhadap penganjuran program kerohanian sebagai pelengkap kepada kecemerlangan akademik pelajar.

Menurut penganjur, program seumpama ini akan terus diperkasa bagi membudayakan amalan munajat dan penghayatan al-Quran dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan hasrat melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan seimbang dari aspek intelek serta spiritual.