Oleh: Muhammad Nazim Zainal
Sabak Bernam, Selangor | 15 – 17 Mei 2026 – Program Mekar Mawaddah: Menyemai Ukhuwah, Memperkasa Komuniti Desa telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari dua malam di Kampung Banting, Sabak Bernam, Selangor menerusi penglibatan seramai 30 orang mahasiswa bersama sembilan keluarga angkat dalam kalangan penduduk setempat.
Program anjuran Exco Kesukarelawanan Kelab Sahabat Ulul Albab di bawah naungan Pusat Ulul Albab UPSI ini menjadi medium strategik dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).



Program ini dirangka berteraskan falsafah pendidikan Ulul Albab yang menitikberatkan elemen Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik dalam usaha melahirkan mahasiswa holistik, berdaya saing serta cakna terhadap realiti kehidupan masyarakat. Melalui penglibatan langsung bersama komuniti desa, peserta didedahkan kepada nilai kebersamaan, kepimpinan sosial, kesukarelawanan dan penghayatan budaya masyarakat setempat secara lebih autentik dan bermakna.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Mohd Hairi bin Jelani, Penghulu Mukim Sabak, manakala ucapan aluan disampaikan oleh Yang Berusaha Dr. Sakinah binti Salleh, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam aspek akademik, malah perlu turun mendekati masyarakat bagi memahami denyut nadi komuniti serta mengaplikasikan ilmu secara bersepadu dalam kehidupan sebenar.



Hari pertama dimulakan dengan majlis penyerahan anak angkat dan interaksi awal seperti makan malam bersama, sesi suai kenal, eksplorasi kawasan kampung serta rakaman vlog keluarga angkat berjaya mewujudkan suasana mesra dan harmoni antara mahasiswa dengan penduduk kampung. Pendekatan ini secara tidak langsung menyemai nilai empati, hormat-menghormati dan semangat kekeluargaan dalam kalangan peserta.


Memasuki hari kedua, peserta mengikuti Kursus Penyembelihan korban yang berlangsung di Masjid Al-Fitrah dan dikendalikan oleh Ustaz Ahmad Azizi bin Soim, Imam 1 Masjid Al-Fitrah. Bersempena sambutan Aidiladha yang bakal tiba, kursus ini memberi pendedahan berkaitan hukum syariah, tatacara penyembelihan halal serta aplikasi praktikal penyembelihan menurut syariat Islam. Pengisian berbentuk teori dan amali ini berjaya memperkukuh kefahaman peserta terhadap penghayatan ibadah serta kepentingan ilmu dalam kehidupan seharian sebagai manifestasi mahasiswa Quranik.
Peserta turut berpeluang menyertai aktiviti merewang bersama keluarga angkat dengan menyediakan pelbagai juadah tradisional seperti ayam lado, masak lemak kerang, acar sayur, ikan goreng dan hidangan kampung lain. Aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan warisan budaya masyarakat Melayu desa, malah mengukuhkan lagi semangat kerjasama, toleransi dan kebersamaan antara mahasiswa dan komuniti setempat.
Pada sebelah petang, berlangsung Pertandingan Memancing anjuran JPKK Kampung Banting yang dirasmikan oleh wakil kepada Yang Berhormat Datuk Haji Rizam bin Haji Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna merangkap ADUN Sungai Air Tawar. Program santai berbentuk rekreasi komuniti ini turut menyaksikan kejayaan tiga wakil UPSI iaitu Mohamad Irman Fitri bin Allesar, Muhammad Badrul Amin bin Mohamad Farid dan Muhammad Nur Hakim bin Lahasi yang berjaya membawa pulang hamper kemenangan.
Malam kebudayaan yang menjadi kemuncak program turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Haji Rizam bin Haji Ismail. Pelbagai persembahan berteraskan nilai rohani, seni budaya dan kreativiti dipersembahkan termasuk tarian tradisional oleh murid SK Tebok Jawa menerusi Joget Pahang dan Umpan Jinak di Air Tenang, selain persembahan Cinta Surah, Kalam Jamaie dan nasyid. Persembahan yang ditampilkan mencerminkan keseimbangan antara pembangunan intelektual, penghayatan spiritual dan pemerkasaan budaya selari dengan aspirasi pendidikan Ulul Albab.
Hari terakhir program diisi dengan pelbagai aktiviti sukaneka seperti span isi air, membawa bola menggunakan sudu, lari dalam guni, musical chair, balon air dan taji ayam yang berlangsung meriah dengan penyertaan aktif murid SK Kampong Banting serta keluarga angkat. Aktiviti ini berjaya memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan interaksi sosial yang positif dalam suasana santai dan ceria.
Majlis penutupan serta penyerahan semula anak angkat telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr. Samsuddin bin Abd Hamid, Penyelaras 2 Pusat Ulul Albab UPSI. Dalam majlis tersebut turut berlangsung penyampaian hadiah bagi kategori Vlog Terbaik Keluarga Angkat, sukaneka serta pemberian bingkai gambar sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan buat keluarga angkat yang terlibat.



Suasana majlis penutupan bertukar penuh emosi apabila peserta dan keluarga angkat saling berpelukan serta menitiskan air mata sebagai simbolik eratnya hubungan yang terjalin sepanjang program berlangsung. Keakraban yang terbina jelas membuktikan bahawa program berteraskan komuniti seperti ini mampu menjadi jambatan penghubung antara mahasiswa dan masyarakat dalam membentuk generasi yang lebih berjiwa rakyat dan berteraskan nilai insaniah.
Secara keseluruhannya, Program Mekar Mawaddah berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah memiliki kepekaan sosial, semangat kesukarelawanan dan kemampuan berinteraksi secara efektif bersama masyarakat. Program ini turut memperkukuh agenda pembentukan generasi Ulul Albab yang holistik, berwibawa dan berteraskan nilai Quranik, Ensiklopedik serta Ijtihadik selaras dengan aspirasi Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai universiti pendidikan terulung negara.

