Tanjong Malim, 29 April 2026 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Rabu Qalbu Perdana Pelajar META Siri 1/2026 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Auditorium KSAJS melibatkan penyertaan ramai mahasiswa serta warga fakulti.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi ini bertujuan menyemai nilai sahsiah, memperkukuh motivasi diri serta mengeratkan hubungan antara pelajar dan warga fakulti melalui pelbagai pengisian ilmiah dan aktiviti pembangunan pelajar secara holistik.

Acara dimulakan dengan aktiviti brisk walk bersama mentor dan penasihat akademik, yang menjadi platform interaksi santai antara pensyarah dan mahasiswa META serta menggalakkan gaya hidup sihat.
Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Dekan META, Prof. Madya Dr. Ing. Maizatul Hayati binti Mohamad Yatim yang menekankan kepentingan pembentukan sahsiah seimbang selari dengan kecemerlangan akademik dan kebolehpasaran graduan. Beliau juga menggesa supaya mahasiswa META bijak mengawal diri dalam menggunakan teknologi supaya tidak menjadi beban kepada diri sendiri.

Kemuncak program ialah sesi Ucap Inspirasi oleh Saudara Muhammad Azam Amiri bin Mohd Raffi, Alumni Diploma Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan juga ISMP Multimedia META yang turut menyaksikan pengisytiharan rasmi beliau sebagai Ikon GE META 2025. Pengiktirafan ini diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan, pencapaian serta inspirasi yang beliau tampilkan sebagai alumni yang berjaya dan contoh teladan kepada mahasiswa META.
Sdr. Azam Amiri turut menzahirkan komitmen berterusan terhadap pembangunan fakulti apabila menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000.00 kepada Tabung Endowmen META melalui WEZAS UPSI. Sumbangan tersebut diharapkan dapat menyokong pelbagai inisiatif pembangunan pelajar, aktiviti akademik serta program kecemerlangan fakulti pada masa akan datang.
Menurut seorang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Semester 4, Sdr. Muhammad Harith Danial Bin Mohd Faisal, program ini memberi impak positif kepada dirinya sebagai pelajar META.
“Program seperti ini sangat memberi inspirasi kepada saya kerana bukan sahaja membuka perspektif tentang peluang selepas graduasi, malah meningkatkan motivasi untuk lebih aktif menyertai program fakulti dan membina keyakinan diri sejak di peringkat universiti,” katanya.
Program turut diserikan dengan sesi perkongsian bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang memberi pendedahan awal kepada mahasiswa berkaitan kepentingan literasi keusahawanan serta peluang membangunkan perniagaan sejak di peringkat universiti.
Selain itu, program ini turut menjadi platform memperkukuh identiti komuniti META melalui penyertaan aktif mahasiswa dalam setiap aktiviti yang dianjurkan. Kehadiran yang memberangsangkan mencerminkan komitmen tinggi warga META dalam menjayakan agenda pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati kepada para jemputan sebelum program bersurai sekitar jam 11.00 pagi.
Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat diteruskan secara konsisten sebagai medium memperkukuh sahsiah, kepimpinan dan jaringan profesional mahasiswa Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi UPSI selaras dengan aspirasi universiti melahirkan graduan holistik, kompeten dan berdaya saing.
