Ditulis oleh: Najwa Nasir,Ainur Farisya
Tanjong Malim, 30 April 2026 – Bengkel Ceria dan Kerjaya yang diadakan secara atas talian melalui Google Meet dan TikTok Live ini merupakan salah satu usaha Exco Ekonomi dan Keusahawanan,Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PPAKK) Sidang 2025/2026 dalam menyemai minat serta memberi inspirasi kepada mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang keusahawanan sebagai persediaan menghadapi kerjaya pada masa hadapan.
Program ini merupakan satu sesi perkongsian pengalaman,cabaran serta tips keusahawanan daripada tiga orang panel yang berlatar belakang berbeza,namun masing-masing memfokuskan kepada industri tempatan.Program ini juga telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran hampir 500 orang peserta.



Program ini telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Halim Bin Masnan, Timbalan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni,Fakulti Pembangunan Manusia,UPSI. Dalam ucapan beliau, beliau menyatakan bahawa program ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian mengenai keusahawanan,malah turut membuka mata para mahasiswa/i tentang peluang-peluang pekerjaan yang boleh diceburi semasa masih bergelar pelajar mahupun selepas menamatkan pengajian sebagai graduan.
Panel pertama ialah Cik Nik Nur Fahimah Binti Nik Mood, seorang pengusaha kilang RMZ Food and Beverage di Pasir Puteh, Kelantan. Beliau berkongsi pengalaman dalam meneruskan legasi ayahnya, iaitu Nik Mood, untuk menguruskan kilang tersebut sejak tahun 2017. Menurut beliau, bukanlah sesuatu yang mudah untuk memastikan perniagaan kekal relevan seiring dengan perubahan semasa. Bagi mempromosikan produk-produk berasaskan tanaman roselle seperti halwa roselle, kordial roselle dan minuman roselle, beliau memanfaatkan penggunaan media sosial seperti TikTok dan Shopee sebagai platform pemasaran utama.
Sesi perkongsian kedua diteruskan bersama Cik NurSarah Rezkia Binti Memmeng, pemilik dan pengusaha Kunafasan yang beroperasi di Kafe Kolej Ungku Omar (KUO), UPSI. Dalam perkongsian beliau, beliau menegaskan bahawa usaha dan kejujuran merupakan perkara yang paling penting dalam sesebuah perniagaan. Selain itu, seseorang usahawan juga tidak boleh mudah berputus asa terhadap setiap usaha yang telah dilakukan. Menurut beliau, setiap pengalaman yang dilalui akan menjadi pengajaran berharga untuk membentuk diri menjadi usahawan yang lebih berjaya.
Sesi perkongsian yang terakhir ialah bersama Cik Saidatul Zalfierah Binti Hamizan, seorang MUA (Touch by Sai) yang juga merupakan pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi tips kepada para peserta tentang cara mengimbangkan dunia kerjaya dan kehidupan sebagai pelajar. Melalui perkongsian ini, para peserta memperoleh ilmu pengetahuan tentang kerjaya dalam bidang pelajaran serta dapat menyemai minat untuk melihat perspektif kerjaya dari sudut yang berbeza. Beliau turut menegaskan bahawa kerjaya bukan sahaja bermula setelah tamat pengajian, malah boleh dimulakan pada bila-bila masa.


Program ini diteruskan dengan sesi soal jawab bersama moderator, di mana soalan-soalan telah disediakan khas oleh moderator serta diambil daripada pertanyaan para peserta. Program berakhir dengan sesi fotografi selepas tamatnya perkongsian dan sesi soal jawab antara panel jemputan dan para peserta. Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan Program Bengkel Ceria dan Kerjaya ini. Semoga pelaksanaan program keilmuan berkaitan keusahawanan seperti ini dapat membantu mahasiswa dan mahasiswi meningkatkan pengetahuan melalui pendedahan terhadap dunia keusahawanan yang sebenar, serta menambah pemahaman tentang tips dan amalan keusahawanan dalam diri mereka.
