Peserta kursus bersama penceramah pakar dari UPSIPeserta kursus bersama penceramah pakar dari UPSI

Oleh: Robe’ah Yusuf

IPOH, 28 APRIL 2026 – Di sebalik deruan pagi yang tenang, suasana di lokasi program bertukar menjadi ruang ilmu yang hidup apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil berkongsi kepakaran dalam bidang penternakan lebah kelulut melalui Program Pemindahan Ilmu – Kursus Kelulut Fasa 1: Persediaan dan Pengurusan Koloni Kelulut bersama Akademi Tentera Udara (ATU) di mana pihak ATU akan menerima log kelulut sebanyak 80 log dalam masa terdekat.

Program yang berlangsung pada 28 hingga 29 April 2026 itu menghimpunkan 25 peserta keseluruhannya yang terdiri daripada pegawai, anggota serta ahli BAKAT ATU yang hadir dengan satu matlamat untuk meneroka ilmu baharu dalam bidang penternakan berasaskan kelestarian ekonomi.

Bertemakan pemerkasaan ekonomi melalui ilmu, program ini fasa 1 ini merupakan sebahagian daripada “Program Peningkatan Ekonomi melalui Projek Madu Kelulut bersama Akademi Tentera Udara (ATU)” yang memberi fokus kepada pemindahan teknologi dan kemahiran dalam industri madu kelulut.

Kursus ini dikendalikan oleh Dr. Mohd Syariefudin Abdullah selaku Ketua Projek bersama Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail yang bukan sahaja berkongsi teori, malah membawa peserta menyelami dunia sebenar penternakan lebah kelulut.

Daripada pengenalan koloni, pemilihan habitat, teknik pemindahan log, hinggalah kepada penghasilan madu, setiap sesi menjadi jambatan ilmu yang menghubungkan teori dan amali secara langsung.

Sesi amali 1 meninjau sumber alam sekeliling
Sesi amali 2 penerangan mengenai log lebah kelulut

Menurut Dr. Mohd Syariefudin Abdullah, program ini dilaksanakan dengan sokongan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, bagi memperkukuh usaha pemindahan ilmu yang memberi tumpuan kepada pengurusan ladang, teknik penuaian madu, strategi pemasaran serta pembangunan produk hiliran berasaskan madu kelulut.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini berpotensi menjadi pemangkin kepada sumber ekonomi yang lebih mampan.

Menurut beliau juga selepas ini terdapat dua  lagi fasa kursus yang akan dijalankan merangkumi kemahiran berkaitan dengan produk-produk hiliran, pemasaran dan labelling produk yang  akan diuruskan oleh pensyarah-pensyarah dari UPSI.

Dalam sesi lapangan, peserta turut diberi taklimat mengenai penjagaan koloni serta kepentingan persekitaran semula menurut standard yang tertentu. Program ini bukan sekadar latihan teknikal tetapi satu pengalaman pembelajaran yang membuka perspektif baharu tentang bagaimana ilmu boleh diterjemahkan kepada peluang ekonomi.

Inisiatif ini memperlihatkan bagaimana ilmu bukan sekadar disampaikan di dalam bilik kuliah tetapi boleh diterjemahkan dalam bentuk pengalaman sebenar yang memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Nota: “Program Peningkatan Ekonomi melalui Projek Madu Kelulut bersama Akademi Tentera Udara (ATU)” diketuai oleh Dr. Mohd Syariefudin Abdullah dengan penglibatan barisan pensyarah UPSI iaitu Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail, Profesor Dr. Mohd Azlan Nafiah, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong, Dr. Robe’ah Yusuf, Ts. Dr. Zalina Ismail serta Encik Zaiham Izwan Zainudin selaku wakil UCTC.