oleh MUHAMMAD NUR IKHWAN BIN ABDUL KASSIM

KUALA LUMPUR, 10 April 2026 – Pentas sastera tanah air kembali bernyawa apabila Rumah PENA menjadi tuan rumah kepada acara Malam Baca Puisi PENA. Program yang berlangsung dalam suasana penuh estetika ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan para sasterawan, malah menyaksikan kebangkitan bakat muda daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT).

​Acara bertemakan “Pelangi itu hanya mimpi siang yang hilang ditelan dendam malam” ini menampilkan kelainan apabila berjaya menghimpunkan delegasi mahasiswa daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang dan mahasiswa/i dari negara Indonesia.

​Kehadiran mahasiswa ini disambut mesra oleh tokoh-tokoh besar industri. Malam tersebut turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara, iaitu A. Samad Said, barisan penyair tersohor, penulis mapan, penggiat seni dan budaya, serta deklamator puisi kebangsaan. YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hadir sebagai Tetamu Khas bagi memberi sokongan moral kepada usaha murni memartabatkan sastera Melayu dalam kalangan generasi Z.

​Mahasiswa yang hadir tidak hanya menjadi penonton, malah diberi ruang untuk beraksi di pentas utama. Antara perkara menarik yang dapat diperhatikan adalah empat mahasiswa UPSI, iaitu Muhammad Nur Ikhwan, Afiq Fikri, Mohammad Azrin dan Farhan Aiman bersama rakan-rakan dari USIM, UPM, dan IPG Pulau Pinang memukau hadirin dengan gaya deklamasi, dendangan syair dan persembahan boria yang bertenaga dan penuh penghayatan. Menariknya, rata-rata mahasiswa menggunakan peranti pintar untuk membaca teks puisi, membuktikan bahawa sastera tradisional mampu bergerak seiring dengan teknologi moden.

Kehadiran para peserta yang segak berbaju Melayu lengkap dan berbaju kurung menambah seri malam tersebut, sekali gus mempamerkan jati diri anak muda yang bangga dengan identiti budaya. Kejayaan program ini merupakan hasil kolaborasi erat antara PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) bersama rakan strategik seperti GAPENA, Perbadanan Kota Buku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kolej Za’ba, UPSI.

Penglibatan aktif mahasiswa dalam acara sebesar ini membuktikan bahawa jurang antara generasi lama dan baharu dalam dunia sastera semakin mengecil. Dengan bimbingan daripada tokoh sastera dan pendedahan di peringkat arus perdana, bakat-bakat muda ini dijangka bakal menjadi pelapis yang akan meneruskan kelestarian puisi dan sastera Melayu di masa hadapan.