Oleh Ajijulshah Saidin

Siapa menyangka, di sebalik keheningan malam ketika kebanyakan penduduk sedang berehat di kediaman masing-masing, suasana tenang itu bertukar menjadi detik yang mengerikan. Pada 19 April 2026, Kampung Bahagia di Sandakan, Sabah bertukar wajah menjadi lautan api yang marak dan sukar dikawal. Dalam sekelip mata, sekurang-kurangnya 8,000 penduduk terjejas manakala kira-kira 1000 buah rumah musnah dijilat api.

Kedudukan penempatan yang padat di kawasan atas air, ditambah dengan struktur rumah yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu, mempercepatkan lagi penularan api. Jarak antara rumah yang terlalu rapat menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman. Ribuan penduduk kehilangan tempat berteduh yang bukan sekadar binaan fizikal, tetapi juga ruang penuh kenangan, lenyap dalam tempoh yang amat singkat.

Seiring dengan kejadian tersebut, media sosial seperti TikTok dan Facebook dibanjiri rakaman kejadian secara langsung. Video dan gambar tersebar dengan pantas, memaparkan suasana cemas serta kesedihan mangsa. Namun, satu rakaman tular turut mencetuskan perdebatan apabila menunjukkan sebahagian penduduk meluahkan kekecewaan terhadap kelewatan pihak bomba. Dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, terdapat yang memarahi dan memprovokasi anggota penyelamat, malah menyuarakan rasa putus asa terhadap situasi yang dihadapi.

Reaksi masyarakat terhadap video tersebut berbelah bahagi. Ada yang memahami luahan emosi mangsa yang sedang berdepan kehilangan besar, manakala sebahagian lain mengkritik tindakan tersebut sebagai tidak wajar. Penjelasan daripada beberapa pihak turut menegaskan bahawa operasi penyelamatan melibatkan pelbagai faktor dan kekangan, dan kelewatan bukanlah sesuatu yang disengajakan. Tidak lama kemudian, beberapa individu yang terlibat tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosial. Mereka menjelaskan bahawa tindakan tersebut didorong oleh tekanan emosi dan rasa tidak berdaya ketika berhadapan dengan situasi yang amat mencabar.

Dalam masa yang sama, liputan meluas mengenai insiden ini turut memaklumkan bahawa kebakaran dipercayai berpunca daripada kecuaian ketika memasak. Susulan tragedi tersebut, pelbagai bentuk bantuan mula disalurkan oleh pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. Usaha bantuan meliputi keperluan asas seperti makanan, pakaian serta sokongan kewangan kepada mangsa yang terjejas. Penduduk yang kehilangan tempat tinggal telah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara, antaranya Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, Dewan Sekolah Kebangsaan Gas, Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi, Dewan Sibuga dan Sekolah Kebangsaan Karamunting. Di pusat-pusat ini, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan berganding bahu memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.

Kerajaan turut mengumumkan beberapa bentuk bantuan khusus, termasuk sumbangan RM300 kepada murid warganegara yang terjejas, yang disalurkan melalui akaun sekolah bagi memudahkan pengurusan keperluan persekolahan. Selain itu, bantuan tunai turut diberikan kepada keluarga mangsa, melibatkan RM1,500 daripada kerajaan Persekutuan, RM1,000 daripada kerajaan negeri Sabah dan RM100 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut hadir melawat lokasi kejadian beberapa hari selepas insiden berlaku bagi menzahirkan sokongan serta meninjau keadaan mangsa. Dalam lawatan tersebut, beliau memaklumkan bahawa perancangan pembangunan semula Kampung Bahagia akan dilaksanakan, dengan usaha berterusan untuk membantu penduduk kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.

Tragedi ini bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal, tetapi juga emosi yang mendalam kepada mangsa. Namun di sebalik kemusnahan yang berlaku, terserlah semangat solidariti pelbagai pihak dalam menghulurkan bantuan dan sokongan. Kebakaran Kampung Bahagia menjadi peringatan tentang betapa rapuhnya kehidupan, dan pentingnya kesiapsiagaan serta keprihatinan bersama dalam menghadapi bencana.