Gambar Ahli JawatankuasaGambar Ahli Jawatankuasa

Disediakan oleh: Floria Ivy Jupilin, Dayangku Siti Aisyah

SMAR (Orang Asli) Nurul Hidayah– Setiap anak muda mempunyai impian, namun tidak semua berpeluang melihat jalan untuk mencapainya. Atas kesedaran itu, Program Edufuture: Menelusuri Masa Depan Misi Pendidikan anjuran Exco Akademik dan Intelektual, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026 berjaya dilaksanakan sebagai satu inisiatif bermakna bagi membuka ruang harapan kepada pelajar, khususnya pelajar orang asli, agar mereka berani bermimpi dan yakin melangkah ke hadapan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program ini telah disertai oleh seramai 33 orang mahasiswa/i Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 50 orang pelajar SMAR Nurul Hidayah, serta turut melibatkan penduduk kampung setempat yang memberikan sokongan penuh sepanjang program berlangsung.

Slot Bersama GIATMARA
Slot Bersama YADIM
Ucapan Pengarah Program, Muhammad Adib Irfan Bin Mohd Jaffri

Program ini dirangka khas untuk memberi pendedahan awal tentang hala tuju pendidikan selepas alam persekolahan. Bagi sebahagian pelajar, masa depan mungkin kelihatan kabur dan penuh persoalan. Namun melalui program ini, mereka dibimbing untuk mengenali pelbagai peluang pendidikan yang tersedia seperti universiti, politeknik, kolej komuniti, institusi kemahiran serta bantuan kewangan yang mampu menjadi jambatan menuju kejayaan.

Pengisian utama program diteruskan melalui Slot Akademik hasil kerjasama pihak GIATMARA dan YADIM. Menerusi sesi ini, para pelajar diberi pendedahan mengenai peluang pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan diri serta hala tuju selepas SPM. Setiap perkongsian yang disampaikan membuka mata para pelajar bahawa kejayaan boleh dicapai melalui pelbagai laluan, asalkan disertai usaha dan kesungguhan.

Ucapan Pengetua SMAR Nurul Hidayah, En. Meor Rozman Kamarun Ariffin
Ucapan Felo Penasihat Program, En. Mohd Alamin bin Ismail
Penyampaian Hadiah 

Lebih daripada sekadar perkongsian maklumat, program ini menjadi ruang menyemai keyakinan dalam diri peserta. Setiap sesi motivasi, nasihat dan perkongsian pengalaman membuka mata pelajar bahawa kejayaan bukanlah milik mereka yang bernasib baik semata-mata, tetapi milik mereka yang berusaha tanpa mengenal putus asa. Senyuman, keterujaan dan semangat yang terpancar jelas menggambarkan tentang harapan yang sedang tumbuh dalam hati mereka.

Majlis penutup disempurnakan dengan ucapan daripada Pengarah Program, Muhammad Adib Irfan Mohd Jaffri, yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Beliau turut berharap agar segala perkongsian ilmu, pengalaman dan inspirasi yang diberikan sepanjang program dapat menjadi titik permulaan kepada para pelajar.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengetua SMAR Nurul Hidayah, En. Meor Rozman Kamarun Ariffin, yang menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris atas penganjuran program yang telah berjaya dilaksanakan. “Program ini jelas mencerminkan nilai kerjasama, keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam membentuk komuniti yang harmoni”. Beliau turut berharap agar jalinan kerjasama yang murni ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi manfaat bersama seluruh komuniti.

Majlis perasmian program telah disempurnakan dengan penuh bermakna. Dalam ucapan perasmian, En. Mohd Alamin Ismail, Felo Penasihat Program menzahirkan harapan agar melalui program seumpama ini akan lahir generasi yang berdaya saing, berkeyakinan, dan mempunyai jati diri kukuh untuk memacu pembangunan negara pada masa hadapan. “Usaha sebegini mampu menyemai nilai disiplin, tanggungjawab dan jati diri dalam kalangan generasi muda sebagai asas pembangunan negara”. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sebelum merasmikan program tersebut secara rasmi.

Program turut diserikan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pelajar sebagai tanda penghargaan atas penyertaan aktif mereka sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar sebuah program pendidikan, tetapi sebuah usaha menyalakan cahaya harapan dalam jiwa anak bangsa. Ia membuktikan bahawa apabila peluang diberikan dan semangat disemai, tiada batasan untuk seseorang melakar kejayaan. Semoga program seperti ini terus diperluaskan agar lebih ramai pelajar dapat melihat masa depan mereka dengan penuh keyakinan, keberanian dan harapan.