Disediakan oleh: Dr. Nurzaimah binti Asalal, Fakulti Sains Kemanusiaan.

Tanjung Malim, Perak; 7 Mei 2026 – Mahasiswa Universitas Negeri Semarang (UNNES) telah menyertai Program Growing, Impactful, Awareness, and Teamwork (GIAT) Antarabangsa IV tahun 2026 yang dilaksanakan di Malaysia, sebagai bentuk khidmat masyarakat dan pembangunan kapasiti diri dalam konteks global.

Program ini melibatkan seramai 39 orang mahasiswa UNNES yang akan melaksanakan program khidmat komuniti di Malaysia dan berlangsung selama 19 hari, bermula dari 5 Mei hingga 23 Mei 2026.

“Saya sangat bersyukur dapat mengikuti program International Community Service di UPSI. Masyarakat di sini sangat ramah dan menerima kami dengan baik. Melalui program ini, kami belajar tentang budaya Malaysia, semangat gotong-royong dan cara hidup masyarakat setempat.” ujar Naiya, mahasiswa program pengajian Kedokteran wakil koordinator mahasiswa UNNES Giat Antarabangsa IV 2026.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara pasukan kesukarelawanan V-FSK4U, Persatuan Geografi serta Persatuan Pengajian Malaysia dengan penglibatan komuniti setempat di Kampung Ketoyong dan Simpang Empat Tanjung Malim, Perak serta program melibatkan alam sekitar dan pertukaran budaya dan tradisi.

Program berkenaan diselaraskan oleh Dr. Nurzaimah binti Asalal yang menzahirkan harapan agar inisiatif seperti ini dapat memperkukuhkan hubungan akademik, kesukarelawanan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan Indonesia.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan aktiviti kemasyarakatan, pertukaran budaya, gotong-royong komuniti serta interaksi bersama penduduk setempat yang memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada para pelajar antarabangsa.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran pelajar dari Universitas Negeri Semarang dan UPSI ke Kampung Ketoyong. Program sebegini bukan sahaja membantu masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan, malah memberi peluang pertukaran budaya dan pengalaman antara anak muda dua negara serumpun.

Saya berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi manfaat komuniti setempat dan pembangunan generasi muda.”  Menurut En. Baharul Kalam, Pengerusi JPKK Kg. Ketoyong.

Program ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh jaringan antarabangsa, memperkasakan elemen kesukarelawanan mahasiswa serta menyokong agenda pengantarabangsaan UPSI di peringkat serantau.

Antara program yang bakal dilaksanakan di bawah bimbingan Dr. Nurzaimah binti Asalal adalah program Khidmat Komuniti bersama warga Kg. Ketoyong dan Kg. Simpang Empat, Program Gelandangan Chow Kit, Program transfer knowledge di SMK Slim, Slim River, Perak dan Program bersama komuniti orang asli bertempat di Kg. Gesau, Slim River. Selain itu, di bawah Persatuan Geografi akan melaksanakan program penanaman pokok dan meneroka Gua Tempurung.

Manakala di bawah Persatuan Pengajian Malaysia, pelajar didedahkan dengan budaya dari aspek makanan, permainan tradisional dan pakaian tradisional natara kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia. Pelaksanaan program dipercayai dapat memberi pengalaman berharga buat mahasiswa UNNES mengenali setiap komuniti di Malaysia yang pelbagai.

Melalui program ini, diharapkan mahasiswa UNNES dapat memberikan sumbangan yang maksimum dalam setiap aktiviti.

“Semangat dan selamat maju jaya buat mahasiswa UNNES Giat Antarabangsa II 2025,” ujar Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersialan dari Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, selaku Ketua Jabatan.