Tawau, 10 April 2026 – Program Ziarah Kasih anjuran Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dilaksanakan dengan jayanya sebagai satu inisiatif menyantuni dan mendekati alumni UPSI yang berada di sekitar Tawau. Program ini menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim antara universiti dan para alumninya, di samping menghargai sumbangan serta peranan mereka dalam masyarakat.
Pelaksanaan program ini melibatkan kunjungan ke kediaman alumni Anak Kandung Suluh Budiman yang telah dikenal pasti, khususnya menziarahi Puan Norhasni binti Nanang, yang merupakan alumni UPSI daripada Batch MPSI. Beliau antara alumni yang disantuni dalam program ini. Delegasi Pusat Alumni UPSI berkesempatan untuk bertemu secara langsung dengan beliau, bertanya khabar serta mengetahui perkembangan semasa kehidupan dan kerjayanya.



Sepanjang sesi ziarah, sumbangan berbentuk barangan keperluan asas turut disampaikan kepada Puan Norhasni sebagai tanda keprihatinan dan sokongan daripada pihak universiti. Selain itu, kunjungan ini juga membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, cabaran serta kejayaan yang dilalui oleh beliau dalam bidang yang diceburi, sekali gus menjadi inspirasi kepada pihak universiti dalam memperkukuh jaringan alumni pada masa akan datang.
Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada alumni yang diziarahi, malah turut memberi pengalaman bermakna kepada delegasi yang terlibat. Nilai empati, keprihatinan dan semangat kekitaan jelas terserlah sepanjang program berlangsung, sejajar dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan komuniti yang saling menyokong dan berdaya saing.


Secara keseluruhannya, Program Ziarah Kasih Pusat Alumni UPSI di Tawau ini berjaya mencapai objektifnya dalam mengeratkan hubungan antara universiti dan alumni. Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan secara konsisten sebagai tanda penghargaan kepada alumni, anak kandung Suluh Budiman.
