Oleh: Siti Masyitah A.Runji

Tanjong Malim, 26 April 2026 – Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berkerjasama dengan Persatuan Mahasiswa Fauklti Pendidikan dan Pengajian Sukan (MAPENSU), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menganjurkan program EduConnect yang telah berlangsung secara atas talian melalui platform Microsoft Teams.

Program ini berjaya menghimpunkan lebih 600 orang mahasiswa daripada UPSI dan UMS dalam satu ruang perkongsian ilmu yang penuh inspirasi dan nilai.

Mengangkat konsep forum interaktif, EduConnect menampilkan barisan panel berpengalaman dalam bidang pendidikan yang berkongsi perjalanan kerjaya, cabaran sebenar di sekolah serta realiti profesion keguruan. Perkongsian yang tulus dan berlandaskan pengalaman sebenar ini bukan sahaja membuka minda peserta, malah memberi gambaran yang lebih jelas tentang dunia pendidikan yang bakal mereka tempuhi.

Poster Program EduConnect
Slot Pertama: Sesi Forum bersama Dr. Jaitun dan Dr. Gelymandus
Slot kedua : Sesi Forum bersama Dr. Jadira dan Cikgu Najib

Sepanjang program berlangsung, para peserta dilihat aktif berinteraksi melalui sesi soal jawab, sekali gus mencerminkan keterlibatan yang tinggi serta minat mendalam terhadap bidang pendidikan. Suasana yang santai tetapi sarat dengan ilmu menjadikan program ini bukan sekadar sesi perkongsian, tetapi juga platform membina keyakinan, semangat dan hala tuju kerjaya.

Program EduConnect telah memberikan impak yang positif kepada para peserta khususnya dalam aspek pengetahuan dan pendedahan terhadap dunia pendidikan sebenar. Melalui sesi perkongsian bersama guru berpengalaman, peserta dapat memahami dengan lebih jelas tentang cabaran, tanggungjawab serta realiti profesion keguruan yang sebenar, sekali gus membantu mereka membina jangkaan yang lebih realistik terhadap kerjaya sebagai pendidik.

Selain itu, program ini turut berjaya meningkatkan tahap motivasi dan inspirasi dalam kalangan mahasiswa. Perkongsian pengalaman dan perjalanan kerjaya panel telah memberi dorongan kepada peserta untuk lebih bersemangat dalam menempuh bidang pendidikan serta mempersiapkan diri dari segi mental, emosi dan profesionalisme sebagai bakal guru.

Pemberian Sijil kepada panel-panel penceramah dan rakan kolaborasi program
Pemberian Sijil kepada panel-panel penceramah dan rakan kolaborasi program

program ini membantu peserta dalam merancang hala tuju kerjaya dengan lebih terarah. Maklumat dan nasihat yang dikongsikan oleh panel membolehkan mahasiswa membuat persediaan awal serta menetapkan matlamat yang jelas dalam bidang pendidikan, selaras dengan keperluan semasa.

Akhir sekali, penganjuran program ini berjaya mengukuhkan jaringan kerjasama antara institusi seperti UPSI dan UMS serta mewujudkan hubungan yang lebih erat antara mahasiswa dan golongan pendidik profesional. Secara keseluruhannya, EduConnect bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah turut menyokong usaha melahirkan bakal pendidik yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pendidikan pada masa hadapan.