Oleh: Muhammad Hafis Zainal Abidin dan Rabiatul Adawiyah Md Noor
IPOH, 4 April 2026 – Program kesukarelawanan alam sekitar EcoRimba: Local Roots, Global Impact telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlang di Semaian Rimba Forestry Nursery, Ulu Chepor Forest, Ipoh, Perak. Program ini menyaksikan penglibatan aktif mahasiswa tempatan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta penyertaan pelajar antarabangsa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),
Program anjuran EXCO Agrikultur Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), UPSI dengan kerjasama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta memperluas pengetahuan peserta tentang kepentingan pemuliharaan hutan hujan tropika Malaysia.
Inisiatif ini turut menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang dalam satu misi bersama untuk memahami, memelihara dan menghargai khazanah alam negara. Lebih menarik, program ini disertai oleh pelajar antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Singapura, Nigeria, Indonesia, Syria, Kanada, Palestin, Pakistan, Mesir dan Uzbekistan. Penyertaan ini sekali gus mencerminkan semangat kolaborasi rentas budaya dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar.


Pergerakan peserta ke lokasi yang bermula seawal jam 6.30 pagi diteruskan dengan slot ice breaking antara peserta tempatan dan antarabangsa bagi mengeratkan jalinan ukhuwah serta
mewujudkan suasana mesra dalam kalangan peserta. Seterusnya, peserta diberikan taklimat berkaitan kesedaran konservasi hutan serta pengenalan kepada pelbagai spesies pokok.
Sepanjang program berlangsung, peserta terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti praktikal di tapak semaian seperti pembungkusan tanah, pemprosesan anak benih, kerja penyelenggaraan termasuk merumput dan pembajaan, serta aktiviti pemindahan anak pokok ke dalam polibeg (transplanting).
Aktiviti berkebun dan penyediaan herbarium turut dilaksanakan bagi memperkukuh pemahaman peserta terhadap biodiversiti hutan. Hasil usaha bersepadu semua peserta, sebanyak 1,200 anak pokok daripada pelbagai spesies hutan berjaya disemai sepanjang program ini berlangsung.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Penasihat Program EcoRimba, Datin Wan Nurul Hidayu binti Wan Abdul Razak. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa tema “Local Roots, Global Impact” amat signifikan kerana setiap tindakan kecil di peringkat tempatan berupaya memberikan impak besar terhadap kelestarian alam sekitar secara global.
Beliau turut menekankan bahawa usaha seperti penanaman anak benih serta pemeliharaan biodiversiti merupakan langkah praktikal dan berkesan dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.
Dalam pada itu, Setiausaha KUASA Perak, Mohamad Hafizudin Mohd Nasaruddin turut menyatakan sokongan padu terhadap inisiatif ini dengan memuji jalinan kerjasama erat antara pihak universiti, NGO serta mahasiswa tempatan dan antarabangsa dalam usaha memelihara ekosistem hutan. Menurut beliau, pendedahan seperti ini berupaya melahirkan generasi yang lebih peka, prihatin dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Pengarah Program EcoRimba, Muhammad Hafis bin Zainal Abidin dalam ucapannya menyatakan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan program tersebut. Beliau
menjelaskan bahawa program ini bukan sahaja mampu memberikan pendedahan secara teori, malah turut menekankan pengalaman pembelajaran secara langsung melalui aktiviti lapangan. Beliau turut berharap agar para peserta dapat memanfaatkan peluang ini sebaiknya untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta menyedari bahawa setiap usaha kecil yang dilaksanakan secara bersama mampu memberikan impak besar terhadap kelestarian alam sekitar.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan pemuliharaan hutan, menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan, serta memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, NGO dan pelajar antarabangsa. Pelaksanaan EcoRimba ini turut mencerminkan komitmen mahasiswa dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya dalam aspek tindakan terhadap perubahan iklim (SDG 13), kehidupan di darat (SDG 15) serta kerjasama global (SDG 17). Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kesedaran tinggi serta komitmen berterusan terhadap kelestarian alam sekitar.
