Oleh : Siti Nurhafizah Mohd Roseki
KAJANG, SELANGOR, 16 APRIL 2026 – Program Rise and Lead: Pembinaan Jati Diri Usahawan Wanita Bersama UPSI telah berlangsung pada 16 April 2026 (Khamis), bertempat di Penjara Wanita Kajang, Sungai Jelok, 43000 Kajang, Selangor, bermula seawal jam 9:00 pagi hingga 12:30 tengah hari.
Program ini dianjurkan oleh Exco Ekonomi dan Keusahawanan, Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) yang melibatkan pelajar ISMP Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Program Rise and Lead: Pembinaan Jati Diri Usahawan Wanita Bersama UPSI merupakan satu inisiatif bermakna yang bertujuan memperkasa golongan wanita melalui pembangunan sahsiah dan kemahiran keusahawanan.


Program ini dilaksanakan di Penjara Wanita Kajang dengan penglibatan pihak kaunseling dan organisasi berkaitan, selaras dengan usaha melahirkan individu yang berdaya tahan, berdikari, serta mampu menyumbang kepada masyarakat.
Inisiatif sebegini bukan sahaja memberi pendedahan kepada ilmu keusahawanan, malah turut menanam nilai keyakinan diri dan kepimpinan dalam kalangan peserta.
Majlis perasmian program Rise and Lead: Pembinaan Jati Diri Usahawan Wanita Bersama UPSI telah disempurnakan oleh Dr. Md Noor bin Saper, penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH).
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan pembangunan jati diri, daya tahan mental, serta kemahiran keusahawanan sebagai elemen penting dalam membentuk individu yang berdaya saing.
Beliau turut menyatakan bahawa program seperti ini mampu membuka peluang baharu kepada wanita untuk membina kehidupan yang lebih baik serta berperanan aktif dalam masyarakat selepas menempuh pelbagai cabaran hidup.
Seterusnya, program diteruskan dengan pelaksanaan modul Langkah Pertama ke Arah Kejayaan yang memberi penekanan kepada pembinaan asas pemikiran positif dan penetapan matlamat hidup. Melalui modul ini, peserta didedahkan kepada kepentingan mengenal potensi diri, membina keyakinan, serta merancang hala tuju masa depan secara lebih jelas dan terarah.
Aktiviti yang dijalankan turut melibatkan perkongsian pengalaman, refleksi kendiri, serta latihan praktikal yang membantu peserta memahami langkah-langkah awal dalam mencapai kejayaan. Pendekatan interaktif yang digunakan berjaya menarik minat peserta untuk lebih terbuka, seterusnya menyemai semangat untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik.
Program diteruskan dengan sesi senamrobik yang dijalankan bagi menyemarakkan suasana dan meningkatkan tahap kecergasan fizikal peserta.
Aktiviti ini bukan sahaja bertujuan menjaga kesihatan tubuh badan, malah turut membantu mengurangkan tekanan serta meningkatkan semangat dan motivasi diri.
Para peserta dilihat memberikan kerjasama yang baik dan terlibat secara aktif sepanjang sesi berlangsung. Suasana yang ceria dan penuh energi jelas menunjukkan bahawa aktiviti fizikal seperti ini mampu menjadi medium efektif dalam membina kesejahteraan emosi dan sosial dalam kalangan peserta.

Sebagai penutup program, sesi fotografi telah diadakan bagi merakam momen berharga sepanjang berlangsungnya program Rise and Lead: Pembinaan Jati Diri Usahawan Wanita Bersama UPSI . Sesi ini bukan sahaja menjadi kenangan manis kepada semua peserta dan penganjur, malah turut melambangkan semangat kebersamaan dan kejayaan pelaksanaan program.
Para peserta dilihat teruja dan gembira, jelas terpancar rasa penghargaan atas peluang yang diberikan untuk menyertai program yang penuh manfaat ini. Momen yang dirakam diharapkan menjadi simbol inspirasi dan kenangan yang akan terus membakar semangat peserta untuk melangkah ke arah perubahan yang lebih positif.
