Oleh : Siti Nurhafizah Binti Mohd Roseki
TANJONG MALIM, 25 APRIL 2026 – Program Rentasi Sempadan, Satukan Rasa: Tradisi Syawal Bersama Pelajar Antarabangsa telah berlangsung pada 25 April 2026, dari jam 8:00 pagi hingga 7:00 petang bertempat di Bengkel Masakan, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program Rentasi Sempadan, Satukan Rasa: Tradisi Syawal Bersama Pelajar Antarabangsa yang dianjurkan oleh Persatuan Bimbingan Dan Kaunseling merupakan satu inisiatif bagi meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana Aidilfitri yang penuh bermakna.



Program ini dilaksanakan melalui jalinan kerjasama strategik antara Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Persatuan Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa (MMKA), International Mobility and Advanced Education Centre (IMAC), Consumer Family and Science Student Association (FaCSA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Penganjuran program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa melalui perkongsian tradisi Syawal, sekali gus memupuk semangat perpaduan, kefahaman budaya, dan keharmonian dalam komuniti kampus.
Selain itu, program ini turut menyokong nilai-nilai pembangunan mampan seperti pendidikan berkualiti, pengurangan ketidaksamaan, serta kerjasama dalam mencapai matlamat bersama.
Pengarah program iaitu Shafiza Binti Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur atas kelancaran penganjuran program ini serta penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi komitmen dan kerjasama sepanjang program berlangsung.
Beliau turut menyatakan bahawa program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar antarabangsa mengenai tradisi Syawal di Malaysia, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar yang berbeza latar belakang budaya.
Harapan beliau agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam melahirkan komuniti kampus yang harmoni, inklusif dan saling menghargai kepelbagaian.
Program Rentasi Sempadan, Satukan Rasa: Tradisi Syawal Bersama Pelajar Antarabangsa telah berlangsung dengan penuh meriah dan tersusun mengikut tentatif yang dirancang pada 25 April 2026 di Bengkel Masakan, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Program dimulakan seawal jam 8:00 pagi dengan sesi pendaftaran dan sarapan pagi, diikuti taklimat kepada peserta serta bacaan doa bagi memberkati perjalanan aktiviti.
Seterusnya, para peserta membuat persediaan diri dengan memakai apron dan sarung tangan sebelum memulakan aktiviti penyediaan adunan kuih seperti kuih semperit susu dan biskut cornflakes madu.
Menjelang tengah hari, peserta meneruskan proses penyediaan dan memasak sebelum berehat untuk makan dan menunaikan solat. Pada sebelah petang, aktiviti diteruskan dengan penyediaan adunan kuih kelapa legend dan red velvet cookies, diikuti sesi taklimat berkaitan hak pengguna serta perkongsian ilmu mengenai pengiraan kos bagi setiap balang kuih raya.
Program di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI diakhiri dengan sesi fotografi dan bersurai pada jam 4:00 petang, meninggalkan kenangan manis serta pengalaman bermakna kepada semua peserta yang terlibat.
Pada sebelah petang, program Rentasi Sempadan, Satukan Rasa: Tradisi Syawal Bersama Pelajar Antarabangsa diteruskan dengan aktiviti luar kampus yang lebih berfokus kepada elemen kebajikan dan kemasyarakatan.
Para peserta bertolak dari UPSI pada jam 4:00 petang dan tiba di lokasi sekitar jam 4:30 petang untuk membuat persediaan. Seterusnya, sesi ramah mesra diadakan dalam suasana santai bersama penghuni rumah asnaf sementara menunggu ketibaan tetamu kehormat.
Program diteruskan dengan bacaan doa bagi memohon keberkatan serta kelancaran sepanjang majlis berlangsung, diikuti dengan ucapan aluan ringkas daripada Pengarah Program iaitu Shafiza Binti Ibrahim serta wakil rumah asnaf.
Dalam ucapan tersebut, pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan menzahirkan rasa syukur atas peluang untuk bersama-sama menyantuni golongan yang memerlukan. Kemuncak aktiviti ialah sesi penyerahan sumbangan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada penghuni rumah asnaf, di samping mengeratkan
hubungan silaturahim antara peserta dan pihak penerima. Seterusnya, para peserta menikmati jamuan ringan dalam suasana yang santai dan harmoni, sambil berinteraksi antara satu sama lain. Keseluruhan program ini berjalan dengan lancar dan memberi pengalaman yang bermakna kepada semua pihak yang terlibat.



Majlis kemudian diserikan dengan sesi fotografi bersama semua pihak yang terlibat sebagai tanda kenangan dan penghargaan atas penglibatan dalam program tersebut. Sesi ini bukan sahaja merakam momen berharga, malah menjadi simbol kebersamaan antara penganjur, peserta dan pihak yang terlibat.
Program seterusnya berakhir pada jam 7:00 malam dengan sesi bersurai dalam keadaan teratur dan penuh harmoni. Secara keseluruhannya, program ini telah meninggalkan impak yang positif kepada semua peserta, khususnya dalam membentuk nilai empati, keprihatinan serta semangat kebersamaan yang tinggi dalam diri setiap individu yang terlibat.
