Oleh: Nur Afiqah Sarbaini & Nur Nadiah Azharuddeen
Kampung Lonek Negeri Sembilan, 9 Mei 2026 – Program “KUO Kasih : Dari Kita Untuk Komuniti” anjuran mahasiswa/i Kolej Ungku Omar telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat kemasyarakatan dan kebersamaan bersama penduduk Kampung Lonek. Program yang berteraskan nilai kebajikan dan perpaduan ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk mahasiswa mahasiswi dari tiga institusi berbeza dan komuniti setempat dalam usaha menyantuni masyarakat dan memperkukuh hubungan silaturahim antara generasi muda dan penduduk kampung.
Program ini memberi penekanan kepada aktiviti kemasyarakatan melalui pemberian bakul makanan kepada keluarga asnaf sebagai usaha membantu meringankan beban golongan yang memerlukan. Inisiatif tersebut bukan sahaja menjadi lambang keprihatinan sosial, malah memperlihatkan semangat saling membantu yang masih utuh dalam kalangan masyarakat dan mahasiswa masa kini.



Selain aktiviti kebajikan, program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti gotong-royong dan aktiviti yang melibatkan penyertaan penduduk kampung bersama para peserta. Aktiviti seperti ini berjaya mewujudkan suasana harmoni dan ceria di samping menghidupkan kembali budaya bekerjasama serta semangat kejiranan yang semakin kurang diamalkan dalam kehidupan moden. Penglibatan mahasiswa secara langsung bersama komuniti setempat juga memberi peluang kepada mereka untuk memahami realiti kehidupan masyarakat desa dengan lebih dekat.
Melalui pelaksanaan program ini, mahasiswa bukan sahaja dapat menimba pengalaman dalam pengurusan aktiviti kemasyarakatan, malah berpeluang menyemai nilai empati, tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan dalam diri masing-masing. Interaksi yang terjalin sepanjang program turut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan serumpun antara mahasiswa dan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang.
Menurut Pengarah Program, Muhammad Haziq Syakirien Mohammad Saiful berkata kejayaan program ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara mahasiswa, komuniti dan pelbagai agensi mampu melahirkan program yang memberi impak positif kepada masyarakat. Beliau turut berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium memperkukuh budaya prihatin dan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, Penyelaras Koperasi Homestay Lonek Jempol Berhad, Puan Nor Asiah Haron turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran para mahasiswa yang bukan sahaja hadir membantu masyarakat, malah membawa semangat baharu kepada penduduk kampung melalui aktiviti yang dijalankan bersama. Kehadiran golongan mahasiswa dalam program sebegini dilihat mampu menjadi jambatan dalam merapatkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat.



Menurut Penasihat Program merangkap Felo Kolej Ungku Omar, En. Mohd Alamin Ismail, program seperti ini memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai keprihatinan dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial. Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan mahasiswa bersama komuniti melalui aktiviti kebajikan, gotong-royong dan kesukarelawanan mampu memupuk semangat kerjasama, nilai kepimpinan serta hubungan yang lebih erat antara generasi muda dan masyarakat setempat.

Secara keseluruhannya, program program ini telah mencapai objektif yang digariskan dengan jayanya. Program ini bukan sahaja berjaya menyantuni keluarga asnaf dan memperkukuh hubungan komuniti, malah menjadi wadah dalam membentuk mahasiswa yang lebih peka terhadap nilai kemasyarakatan, budaya gotong-royong dan tanggungjawab sosial demi melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

