Oleh : Siti Nurhafizah Mohd Roseki
TANJONG MALIM, 17 MAC 2026 – Program Jom Kupas Teori 1.0: Pengenalan Teori Pilihan dan Terapi Realiti (CTRT) telah dilaksanakan pada 17 Mac 2026 (Selasa) secara dalam talian, bermula jam 2:00 petang hingga 5:00 petang melalui platform Google Meet dan YouTube Live.
Program ini dianjurkan oleh Exco Akademik dan Kerjaya Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) Sidang 2025/2026. Program ilmiah ini menampilkan Profesor Dr. Ahmad Jazimin bin Jusoh sebagai penceramah utama.
Beliau merupakan pensyarah di Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Timbalan Pengarah (Unit Perundingan, Pengkomersialan dan Inovasi) di Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI, serta merangkap Setiausaha PERKAMA International.


Program Jom Kupas Teori 1.0 ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dan kefahaman mendalam kepada para peserta mengenai konsep asas serta aplikasi Teori Pilihan dan Terapi Realiti (CTRT). Melalui sesi perkongsian ini, peserta berpeluang menerokai bagaimana teknik terapi ini dapat diaplikasikan dalam konteks profesional mahupun pembangunan kendiri.
Sesi perkongsian oleh Profesor Dr. Ahmad Jazimin bin Jusoh berkaitan Teori Pilihan dan Terapi Realiti (CTRT) telah berlangsung dengan penuh manfaat dan berjaya menarik perhatian para peserta.
Dalam sesi tersebut, beliau telah menerangkan konsep asas CTRT yang menekankan bahawa setiap tingkah laku manusia merupakan suatu pilihan yang dibuat untuk memenuhi keperluan asas individu.
Beliau turut berkongsi teknik dan aplikasi praktikal dalam Terapi Realiti bagi membantu peserta memahami bagaimana individu boleh mengawal kehidupan mereka dengan membuat pilihan yang lebih efektif dan bertanggungjawab.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan memfokuskan kepada tingkah laku semasa (total behaviour) serta membina hubungan yang berkualiti bagi meningkatkan kesejahteraan diri dan mental.
Secara keseluruhannya, sesi perkongsian dalam program “Jom Kupas Teori 1.0” ini sangat bermakna serta memberikan input yang berguna kepada semua peserta, khususnya dalam memantapkan kemahiran profesionalisme bimbingan dan kaunseling.
Profesor Madya Dr. Md Noor Saper, selaku Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH), dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan bangga atas penganjuran program Jom Kupas Teori 1.0: Pengenalan Teori Pilihan dan Terapi Realiti (CTRT) ini.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti ini amat penting dalam memastikan mahasiswa dan pengamal kaunseling sentiasa relevan dengan penguasaan teori yang mantap sebelum melangkah ke alam praktikal.
Menerusi majlis perasmian penutupan program, Dato’ Dr. Abd Halim Bin Mohd Hussin selaku Presiden PERKAMA International memberikan pujian yang membina kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya memanfaatkan platform digital untuk membahaskan subjek yang cukup kritikal iaitu Teori Pilihan dan Terapi Realiti (CTRT).
Beliau menyifatkan pemilihan teori ini sebagai satu langkah bijak, memandangkan CTRT merupakan tunjang utama dalam membantu individu menilai kembali pilihan hidup serta memperkasakan tanggungjawab kendiri.


Sebagai tanda kenang-kenangan, program diakhiri dengan sesi fotografi secara maya bersama Profesor Dr. Ahmad Jazimin bin Jusoh, Profesor Madya Dr. Md Noor Saper, Dato’ Dr. Abd Halim bin Mohd Hussin dan semua peserta yang hadir.
Meskipun dijalankan menerusi skrin peranti masing-masing, suasana tetap meriah dengan kerjasama para peserta yang membuka kamera masing-masing. Secara keseluruhannya,
program Jom Kupas Teori 1.0 (CTRT) ini telah mencapai objektifnya dalam menyebarkan ilmu kepakaran berkaitan Teori Pilihan dan Terapi Realiti.
Pihak penganjur (KASIH) berharap agar perkongsian ini dapat memantapkan lagi kemahiran bakal kaunselor serta memberikan impak positif kepada kesejahteraan mental masyarakat.
Majlis bersurai pada jam 5:00 petang dengan ucapan penghargaan buat semua pihak yang terlibat secara langsung, mahupun tidak langsung.
