OLEH: ANHAR MALIK
TANJONG MALIM, 18 MEI 2026 – Exco Perpaduan dan Integrasi, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan program Pesta Serambi Desa: “Rona Budaya Malaysia” bertempat di Dewan Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini berjaya menghimpunkan pelbagai peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI, ahli jawatankuasa serta tetamu jemputan.
Program ini dianjurkan bagi memperkukuh semangat perpaduan dan integrasi dalam kalangan mahasiswa melalui pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan yang menonjolkan keunikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Program ini turut menjadi medium dalam memupuk nilai toleransi, kerjasama dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan warga kampus.



Pengarah Program, Nursyazwani Nadhirah binti Marzan menyatakan bahawa program ini diadakan sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan perpaduan serta menghargai kepelbagaian budaya.
“Program ini diharapkan dapat menjadi medium untuk mahasiswa saling mengenali, menghormati budaya masing-masing serta mengeratkan hubungan dalam suasana kampus yang harmoni. Melalui program ini juga, mahasiswa dapat memahami kepentingan perpaduan dalam membentuk komuniti kampus yang bersatu dan sejahtera,” ucapnya.
Program ini turut menerima penyertaan daripada mahasiswa antarabangsa UPSI. Pengacara majlis sempat menemu bual salah seorang pelajar antarabangsa iaitu Chimmy yang berasal dari China yang turut hadir memeriahkan program tersebut. Beliau menyatakan rasa gembira dan teruja kerana berpeluang menyertai program berteraskan budaya Malaysia serta menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan yang dipersembahkan sepanjang program berlangsung.


Pengetua Kolej Harun Aminurrashid

“Saya sangat seronok menyertai program ini kerana dapat melihat pelbagai persembahan budaya di Malaysia. Program ini memberi peluang kepada saya untuk mengenali dan mempelajari budaya masyarakat Malaysia dengan lebih dekat,” katanya.
Sementara itu, Felo Penasihat Program, Encik Muhamad Rusham bin Rustan Nursim turut menzahirkan penghargaan atas usaha dan komitmen jawatankuasa pelaksana dalam menjayakan program tersebut.
“Program seperti ini bukan sahaja memupuk nilai perpaduan malah memberi ruang kepada mahasiswa untuk bekerjasama, membina hubungan yang lebih erat serta memahami maksud disebalik kepelbagaian budaya yang terdapat dalam masyarakat di Malaysia menerusi pelaksanaan program yang berpaksikan kluster perpaduan,” ujarnya.



Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah turut menekankan kepentingan konsep perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
“Konsep perpaduan dalam kalangan mahasiswa merupakan usaha membina hubungan yang erat, harmoni dan saling bekerjasama antara pelajar daripada pelbagai kaum, agama dan budaya melalui sikap saling menghormati, memahami serta bertolak ansur demi kesejahteraan bersama. Semangat perpaduan amat penting dipupuk dalam diri mahasiswa kerana mereka merupakan generasi pemimpin masa hadapan yang berperanan mengekalkan keamanan negara, sekali gus membentuk suasana kampus dan masyarakat yang aman, harmoni dan bersatu padu,” katanya.
Selain itu, program Pesta Serambi Desa: “Rona Budaya Malaysia” turut menampilkan pelbagai kategori Anugerah Persembahan Terbaik bagi menghargai usaha dan kreativiti peserta yang mengambil bahagian. Terdapat beberapa kategori yang dipertandingkan termasuklah Anugerah Terpaling Stylo, Anugerah Terpaling Havoc, Anugerah Terpaling Unik, Anugerah Terpaling Chill, Anugerah Terpaling Sporting, Anugerah Terpaling Unity, Anugerah Terpaling Klasik, Anugerah Terpaling Effort dan Anugerah Terpaling Aesthetic yang menambahkan lagi kemeriahan dan semangat peserta sepanjang program berlangsung.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan kolaborasi iaitu Kelab Pencak Silat, Persatuan Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil, Ikatan Bahasa Iban, Kelab Bahasa Jepun, UPSI Global Buddies dan Himpunan Anak Kedah atas kesudian mereka untuk bekerjasama dan mencurahkan komitmen sepanjang pelaksanaan program.



Selain itu, jutaan terima kasih turut ditujukan kepada pihak penaja program iaitu Revebrew, Panji Cafe (KUO) dan Rancak Cafe (KUO) atas sumbangan dan sokongan yang diberikan dalam memastikan kelancaran serta kejayaan penganjuran program ini. Sokongan yang diberikan amat dihargai dalam merealisasikan objektif program serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa UPSI.



