Oleh: Prof. Madya. Dr. Mohd Hairy Ibrahim, Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail dan Ewin Ewan
Tanjong Malim, 7 Mei 2026 – Dalam usaha memperluas kefahaman masyarakat terhadap isu perubahan iklim yang semakin kritikal, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan sebuah program podcast bertajuk “Cuaca Ekstrem: Pendidikan Sebagai Benteng Bencana”. Program ini berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet dan turut disiarkan secara langsung di Facebook Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI. Kehadiran ratusan penonton di kedua-dua platform mencerminkan sambutan positif terhadap program ini.
Berteraskan konsep santai berinformasi, program podcast kendalian pelajar dari Kursus Kaji Iklim (HGF3073) dengan bimbangan Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim dan Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail, yang juga merupakan pensyarah di Jabatan Geografi dan Alam Sekitar ini menghimpunkan perbincangan ilmiah yang memberi fokus kepada peranan pendidikan dalam mendepani cabaran cuaca ekstrem. Penyertaan yang diterima daripada pelbagai latar belakang menunjukkan bahawa kesedaran terhadap isu iklim semakin mendapat perhatian masyarakat.
Podcast ini menampilkan dua orang panel jemputan dari Universitas PGRI Sumatera Barat, Indonesia iaitu Loli Setriani, M.Pd dan Rozana Eka Putri, S.Pd., M.Si yang telah berkongsi pandangan berdasarkan kepakaran masing-masing. Kupasan yang dibawakan bukan sahaja menyentuh aspek teori, malah mengaitkan situasi sebenar yang berlaku di rantau Asia Tenggara.
Sepanjang sesi berlangsung, perbincangan menjurus kepada realiti semasa di mana kejadian cuaca ekstrem semakin tidak menentu dan sukar diramal. Fenomena seperti hujan lebat berpanjangan, tempoh kemarau yang luar biasa serta peningkatan suhu global dilihat sebagai antara cabaran utama yang memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia dan alam sekitar.



Apa yang menarik, penekanan diberikan kepada fungsi pendidikan sebagai medium utama dalam membina ketahanan masyarakat. Melalui pendedahan awal dan pemahaman yang jelas, pendidikan mampu membentuk individu yang lebih peka, bersedia serta berupaya mengambil tindakan yang wajar dalam menghadapi risiko bencana.
Selain itu, aspek pembinaan kesedaran dalam kalangan generasi muda turut diberi perhatian. Hal ini kerana golongan ini bakal menjadi peneraju masa depan yang perlu berhadapan dengan implikasi perubahan iklim yang lebih kompleks. Justeru, penguasaan ilmu berkaitan iklim dilihat sebagai satu keperluan, bukan lagi pilihan.
Program ini turut diserikan dengan pengendalian moderator, Ahmad Faiz Ridzuan bin Zamri yang berjaya mewujudkan suasana interaksi yang aktif dan tersusun. Pendekatan yang digunakan membantu merangsang perbincangan agar lebih dekat dengan realiti kehidupan seharian masyarakat.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar platform perkongsian maklumat, malah berperanan sebagai ruang untuk membina kesedaran kolektif tentang kepentingan memahami dan menangani isu perubahan iklim. Dalam dunia yang semakin terdedah kepada ancaman bencana, usaha menyebarkan ilmu secara berterusan menjadi satu keutamaan.
Penganjuran podcast ini jelas mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkasa pendidikan sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih berdaya tahan. Inisiatif sebegini wajar diteruskan agar kesedaran terhadap isu cuaca ekstrem dapat diperkukuh dan seterusnya menjadi sebahagian daripada budaya ilmu dalam kehidupan seharian.
