Oleh: Irdina Sofea 

Tanjong Malim, 19 Mei 2026 – Di sebalik alunan muzik dan limpahan cahaya pentas, terselit sebuah ruang yang menyatukan emosi, kesedaran dan jiwa anak muda. Exco Jaringan Komuniti dan Antarabangsa, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar telah menganjurkan program Pulse & Pause: Let The Rhythm Flows yang berlangsung dengan penuh meriah di Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Program ini dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan fizikal dan mental di samping menyediakan ruang ekspresi emosi yang positif melalui medium seni dan persembahan. 

Program ini mendapat kerjasama strategik daripada Hospital Slim River, Klinik Kesihatan Slim River, Pusat Kaunseling UPSI serta persatuan badan pelajar di bawah Fakulti Pembangunan Manusia UPSI iaitu Persatuan Bimbingan Dan Kaunseling, Psychology Association, Psychological First Aid, Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas, Persatuan Pendidikan Awal Kanak Kanak dan Persatuan Sahabat Komuniti yang bersama-sama menjayakan pelbagai pengisian kesihatan dan kesejahteraan sepanjang program berlangsung. 

Selain itu, program ini turut mendapat sokongan padu daripada barisan penaja yang banyak membantu melancarkan perjalanan program, sekali gus memperkukuhkan objektif penganjuran dalam menyebarkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat setempat. 

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mahasiswa UPSI serta penduduk sekitar Tanjong Malim. Pada sebelah pagi, pelbagai aktiviti kesihatan telah dijalankan termasuk kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan yang disediakan oleh pihak Hospital Slim River dan  Klinik Kesihatan Slim River serta forum kesihatan mental yang memberi pendedahan tentang kepentingan menjaga kesejahteraan diri dalam kehidupan seharian.

Antara pengisian utama yang berjaya menarik perhatian pengunjung ialah slot “Gen Z Unpack” dan forum “Bila Emosi: Healing atau Hilang?”  yang berjaya membawa Encik Sharif Kunal Doli Sharif atau lebih dikenali sebagai Atu Zero, selebriti tempatan sebagai panel jemputan yang membincangkan isu kesihatan mental dalam kalangan belia masa kini yang turut disertai oleh Pn. Najidah Yahaya, Pegawai Psikologi Pusat Kaunseling UPSI. Sesi ini bukan sahaja membuka ruang perbincangan secara santai dan terbuka, malah memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan pengurusan emosi dan tekanan hidup.

Majlis perasmian program berlangsung dengan penuh meriah menerusi ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, Daniel Haqeemy Khairul Faizy yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau menyatakan bahawa program ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat setempat. 

Felo Penasihat Program, Encik Mohd Alamin Ismail turut menekankan kepentingan keseimbangan emosi dalam kehidupan mahasiswa dalam ucapan perasmian beliau. Beliau turut memuji usaha penganjuran program ini yang berkonsepkan seni, muzik dan kesejahteraan komuniti. “Program ini membuktikan bahawa seni dan kesedaran kesihatan mampu bergerak seiring dalam membentuk masyarakat yang lebih positif dan prihatin,” ujar beliau.

Menjelang malam, suasana program berubah menjadi lebih santai dan emosional menerusi segmen Senandika Malam: Tautan Jiwa Sepi. Persembahan nyanyian daripada pelajar UPSI iaitu Clarissa, Nelvic, Bryan, Eric, Awish Anuar, Ariz Anuar serta artis jemputan iaitu Afiq Adnan telah berjaya menghidupkan suasana pentas dengan alunan lagu yang penuh penghayatan dan emosi. 

Persembahan tersebut bukan sahaja menghiburkan para pengunjung, malah menjadi medium untuk mengekspresikan perasaan dan pengalaman hidup secara kreatif dan sihat.

Program ini berjaya mencapai objektif penganjuran dalam memupuk kesedaran tentang kesihatan mental dan fizikal serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat setempat. Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform yang menggabungkan elemen kesihatan, komuniti dan seni dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan sejahtera.

Program ini juga telah menjadi ruang yang menyatukan masyarakat melalui kesedaran, sokongan emosi dan apresiasi seni. Kemeriahan yang tercipta membuktikan bahawa kesejahteraan mental dan fizikal mampu dipupuk melalui pendekatan yang santai, inklusif dan dekat dengan jiwa anak muda.