Oleh: Syrelyn Anak Misol, Nureen Aeisya Razin, Adib Irfan Jaffri dan Dayangku Siti Aisyah
Tanjong Malim, 20 Mei 2026 – Selepas dua tahun menyepi, Karnival KITA KUO kembali menggegarkan warga UPSI dengan kemeriahan luar biasa, sekali gus menjadi simbol kebangkitan semula semangat mahasiswa dalam menghidupkan budaya kampus yang dinamik dan inklusif.
Karnival Interaksi Tahunan Kolej Ungku Omar, KITA KUO: The Reunion Wave! anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Sidang 25/26, Universiti Pendidikan Sultan Idris berjaya dijalankan selama empat hari bermula 17 hingga 20 Mei 2026 bertempat di Tapak Pesta KAB, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Mendapat sokongan tajaan daripada Halakiri, U Mobile, Cha Galau, Yayasan Mr. DIY dan Sugarbomb serta rakan kolaborasi dari persatuan-persatuan dalaman UPSI iaitu Persatuan Geografi, Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah, Persatuan Pengajian Malaysia, Himpunan Mahasiswa Anak Kelantan dan Majlis Anak Johor, karnival ini berjaya menjadi platform utama dalam menghimpunkan mahasiswa melalui pelbagai pengisian berteraskan hiburan, kebudayaan, sukan, kerohanian, akademik serta komuniti.

Penganjuran karnival ini menandakan kemunculan semula karnival KITA KUO selepas dua tahun tidak dianjurkan, sekali gus membangkitkan semula nostalgia serta keterujaan dalam kalangan warga kolej dan mahasiswa UPSI. karnival ini bukan sekadar program hiburan semata-mata, malah menjadi medium untuk memperkukuh hubungan antara mahasiswa, mencungkil bakat, meningkatkan kemahiran insaniah serta menyemarakkan semangat kekitaan warga kampus.
Sepanjang karnival berlangsung, sebanyak 9 sub-program menarik telah dijalankan yang melibatkan penyertaan aktif dari mahasiswa UPSI serta komuniti luar. Antaranya adalah Faith Fest: Recharge Hati, Reset Iman, Mahabbah Rasul: Rindu Tanpa Sempadan, MLBB x PUBG Fusion E-Sport Tournament, Pulse & Pause: Let The Rhythm Flows, Rahmahpreneur Bizfest, Borneo Native Day: Segulai, Sejalai, Momok House, KUO Luxe Leisure serta Stemagika 3.0: Robo-Tech Zone.

Dalam ucapan alu-aluan majlis penutup, Pengarah Program, Nursafika Amat menyifatkan karnival ini sebagai aspirasi untuk menjadikan KUO sebagai kolej kediaman yang aktif, progresif serta dekat dengan mahasiswa melalui penganjuran program berimpak tinggi. Beliau turut menujukan kejayaan karnival ini sebagai hasil kerjasama dan komitmen seluruh jawatankuasa yang bertungkus-lumus memastikan karnival yang dinanti-nantikan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Karnival ini bukan sekadar karnival tahunan, tetapi simbol kebersamaan warga KUO yang kembali disatukan. Semoga karnival ini menjadi ruang untuk mahasiswa mencipta pengalaman dan semangat kekeluargaan di samping membuka ruang kepada warga kampus untuk memperoleh ilmu, meningkatkan kesedaran komuniti serta menghayati pelbagai pengisian bermanfaat yang dibawakan sepanjang karnival berlangsung”, ucap Dr. Mardiana Ismail, Pemangku Pengetua Kolej Ungku Omar dalam ucapannya.

Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) turut hadir merasmikan karnival ini. “Program seperti ini bukan sahaja menghidupkan suasana kampus, malah menjadi platform terbaik untuk membentuk mahasiswa yang aktif, berkepemimpinan serta mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi”. Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran karnival seumpama ini mampu melahirkan mahasiswa yang lebih holistik melalui penglibatan aktif dalam pengurusan program, komunikasi dan interaksi bersama komuniti.

Secara keseluruhannya, KITA KUO 2026 berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam menghidupkan semula budaya festival kampus, memperkukuh hubungan mahasiswa serta membuktikan keupayaan jawatankuasa dalam mengendalikan program berskala besar yang berimpak tinggi, kreatif dan berdaya saing.
