Oleh: Nurul Fazirah Abdullah dan Sofeah Elyna

Tanjong Malim, 13 Mei 2026 – Ilmu bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu dihidupkan melalui perkongsian, pengalaman dan wacana yang bermakna. Berteraskan semangat tersebut, Exco Akademik dan Intelektual, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sesi 2025/2026 telah berjaya menganjurkan Pesta Cendekia “Buku dan Bicara, Ilmu Bernyawa” sebagai satu platform menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa serta pelajar sekolah. Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Mei 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini menghimpunkan penyertaan mahasiswa dan pelajar sekolah menengah sekitar Perak dan Selangor. 

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Sahabat PTB UPSI, Pejabat Karang Mengarang UPSI serta beberapa rakan kolaborasi lain seperti Sasbadi Holdings Berhad, PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd., Jejak Tarbiah, Karangkraf, Ilham Books dan Bright Scholar Academy, Fixi serta Merpati Jingga. Selain itu, penganjuran program ini turut mendapat sokongan penajaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka serta Cloudy Taro.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Bicara Santai Cendekia yang membuka ruang perbincangan ilmiah secara terbuka dan kupasan intelektual dari sudut pandang bersama Encik Mohd Januri yang merupakan Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka. Bengkel Bahasa Melayu dan Sejarah yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah sekitar Perak dan Selangor pula dijalankan pada hari kedua. Bengkel ini berjaya meningkatkan pemahaman pelajar terhadap subjek Bahasa Melayu dan Sejarah di samping memupuk minat serta keyakinan mereka dalam pembelajaran.

Sesi Meet the Author bersama Encik Muqri Nizam, penulis Kitab Tamadun Uthmaniyah & Khulafa Al-Rasyidin telah memberi peluang kepada peserta berinteraksi secara langsung serta menyelami dunia penulisan dengan lebih dekat. 

Dalam ucapannya, Pengarah Program, Najwa Syahindah Mohamad melahirkan rasa syukur atas kelancaran program serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat “Program ini bukan sekadar perkongsian ilmu, tetapi juga satu ruang untuk kita sama-sama membina pemikiran yang lebih terbuka”. Beliau menegaskan bahawa program ini bukan sekadar medium penyampaian ilmu, tetapi juga wadah dalam membentuk generasi yang berfikiran kritis, berwawasan serta mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap ilmu. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Muhammad Ali Azizi Abdul Aziz yang menyifatkan penganjuran program ini sebagai satu inisiatif berimpak tinggi dalam memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan generasi muda. Beliau turut menekankan bahawa pembudayaan ilmu merupakan asas penting dalam melahirkan masyarakat yang berdaya saing dan berpengetahuan.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini membuktikan bahawa usaha memperkasa budaya ilmu perlu digerakkan secara kolektif dan berterusan. Langkah kecil yang dimulakan melalui inisiatif seperti ini diharapkan mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mencintai ilmu, malah berupaya menjadi agen perubahan dalam membina masyarakat yang lebih berpengetahuan pada masa hadapan.