Gambar ahli jawatankuasa program bersama warga emas.Gambar ahli jawatankuasa program bersama warga emas.

Oleh Wan Zulaiqah Binti Mior Mohd Zaini & Mohamad Basri bin Jamal

Kuala Kubu Bharu, 19 Mei 2026 – Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama WEZAS telah menganjurkan Program CSR Seindah Memori, Sehangat Kasih bertempat di Dewan PAWE, Kuala Kubu Bharu.

Program ini bertujuan menyantuni warga emas melalui aktiviti sosial dan interaksi mesra, di samping memupuk nilai empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa UPSI sebagai bakal pendidik. Kehadiran warga UPSI bukan sahaja membawa aktiviti dan hiburan, malah turut menghadirkan kegembiraan kepada warga emas yang menghargai perhatian serta teman berbual. Program ini diketuai oleh pengarah program saudari Cemelyn Vivian Jon yang bertanggungjawab memastikan kelancaran pelaksanaan setiap aktiviti.

Gambar perasmi menyampaikan sumbangan kepada pihak PAWE.
Gambar pemberian sumbangan daripada pihak PPMas dan WEZAS.
Gambar aktiviti senamaerobik.

Program ini telah dirasmikan oleh Penasihat Persatuan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Kemanusiaan, Encik Mohamad Basri bin Jamal. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malah wajar memiliki kepekaan terhadap masyarakat sekeliling. Menurut beliau, seorang pendidik bukan hanya berperanan menyampaikan ilmu, tetapi turut membentuk insan yang prihatin, berakhlak dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap komuniti. Pihak sukarelawan turut memberikan sedikit sumbangan kepada warga emas dalam meringankan beban mereka.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan bersama warga emas seperti senamrobik ringan, ping pong dalam sudu, bola kapit, susun menara cawan dan head to head balance. Suasana di Dewan PAWE cukup meriah dengan gelak tawa warga emas dan sukarelawan yang sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan. Kehadiran para sukarelawan sedikit sebanyak menceriakan hari warga emas yang amat menghargai perhatian dan kasih sayang yang diberikan.

Ada dalam kalangan warga emas yang kelihatan teruja apabila peserta program meluangkan masa berbual, bergurau dan menyertai aktiviti bersama mereka. Momen sederhana seperti senyuman, gelak tawa dan ucapan terima kasih menjadikan suasana program lebih bermakna, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada para sukarelawan. Interaksi yang terjalin sepanjang program turut memperlihatkan bahawa perhatian kecil mampu memberikan kegembiraan besar kepada golongan warga emas.

Selain mengeratkan hubungan antara generasi muda dan warga emas, program ini turut memberi ruang kepada mahasiswa untuk mendengar kisah kehidupan serta pengalaman berharga yang dikongsikan oleh warga emas. Perkongsian tersebut membuka mata para pelajar tentang pentingnya menghormati dan menghargai golongan warga emas yang banyak berjasa kepada masyarakat. Pengalaman ini juga memberi kesedaran bahawa nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial merupakan elemen penting dalam pembentukan seorang pendidik.

Sebagai warga UPSI, mahasiswa bukan sahaja berperanan dalam bidang pendidikan yang tertumpu kepada murid dan pelajar, malah turut memikul tanggungjawab sosial terhadap komuniti. Penganjuran program seperti ini membuktikan bahawa UPSI bukan sekadar melahirkan graduan yang berilmu, tetapi juga berusaha membentuk bakal pendidik yang mempunyai jiwa kemasyarakatan, semangat kesukarelawanan dan nilai empati yang tinggi. Melalui pengalaman turun padang bersama komuniti, mahasiswa dapat memahami realiti kehidupan masyarakat dengan lebih dekat.

Gambar aktiviti tuju selipar.
Gambar aktiviti susun menara cawan.

Di samping itu, program ini turut memberi kesedaran kepada pelajar bahawa ilmu yang dipelajari di universiti perlu diterjemahkan melalui tindakan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Interaksi bersama warga emas telah mengajar para sukarelawan tentang pentingnya perhatian, sokongan emosi dan kasih sayang terhadap golongan tersebut. Kesedaran ini secara tidak langsung membentuk mahasiswa yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan bersedia menjadi pendidik yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga menyantuni masyarakat.

Secara keseluruhannya, Program CSR Seindah Memori, Sehangat Kasih berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam mewujudkan hubungan positif antara mahasiswa dan warga emas di samping menyemai budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga UPSI. Lebih daripada sekadar aktiviti khidmat masyarakat, penganjuran ini meninggalkan kesan yang cukup bermakna apabila mahasiswa dapat menyantuni warga emas secara dekat dan belajar untuk lebih menghargai insan di sekeliling mereka. Jelaslah bahawa program seperti ini bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial universiti, tetapi turut menjadi medium penting dalam membentuk mahasiswa yang lebih dekat dengan masyarakat, berjiwa penyayang dan memahami nilai sebenar kemanusiaan. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh budaya keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa, sekali gus melahirkan graduan yang seimbang dari aspek intelektual, sahsiah dan kemanusiaan.