TOKYO, 1 Jun 2026 – Delegasi Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan rasmi ke Nippon Sport Science University (NSSU), Jepun bagi memperkukuhkan hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
Delegasi UPSI diketuai oleh Dekan FSSK, Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria, bersama Profesor Madya Dr. Ali Md Nadzalan, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), serta Dr. Hussain Haleem, Pensyarah Kanan FSSK.
Lawatan ini merupakan susulan kepada kejayaan pelaksanaan Program Pertukaran Seni Mempertahankan Diri Tradisional dan Budaya NSSU-UPSI 2025, yang telah membuka ruang kerjasama lebih luas antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan, sukan dan penyelidikan.
Delegasi UPSI telah disambut mesra oleh pihak pengurusan tertinggi NSSU yang diketuai oleh Profesor Nakazato Koichi, Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan, bersamaEncik Nakamura Gakushi, Pengurus Pusat Antarabangsa Bahagian Hal Ehwal Pendidikan, serta Encik Shinya Katsuda, Pegawai Eksekutif.
Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan, termasuk program mobiliti pelajar, penempatan staf akademik melalui program sangkutan staf (staff attachment), pertukaran kepakaran akademik, serta pelaksanaan projek penyelidikan bersama dalam bidang sains sukan dan prestasi atlet.
Pihak NSSU turut menyatakan komitmen mereka untuk menerima staf akademik UPSI bagi menjalani program sangkutan dan latihan profesional di universiti tersebut. Selain itu, NSSU juga menawarkan peluang kepada pelajar UPSI untuk menyertai program mobiliti akademik yang membolehkan mereka memperoleh pengalaman pembelajaran antarabangsa serta pendedahan kepada amalan terbaik dalam bidang sains sukan.
Sebagai sebuah institusi yang terkenal dengan kecemerlangan dalam pendidikan sukan dan pembangunan atlet elit, NSSU memiliki kemudahan makmal penyelidikan berteknologi tinggi dan bertaraf dunia yang menyokong pelbagai kajian berkaitan prestasi sukan, biomekanik, fisiologi senaman dan sains data sukan.
UPSI melihat kemudahan penyelidikan yang canggih serta kepakaran akademik di NSSU sebagai peluang strategik untuk memperluaskan jaringan penyelidikan antarabangsa dan meningkatkan impak penyelidikan dalam bidang sains sukan. Kedua-dua institusi turut menyatakan kesediaan untuk membangunkan projek penyelidikan bersama yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan ilmu, atlet dan industri sukan di peringkat global.



Melalui lawatan ini, UPSI berharap hubungan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua institusi akan terus diperkukuhkan dan seterusnya membuka lebih banyak peluang dalam aspek akademik, penyelidikan, mobiliti antarabangsa serta pembangunan modal insan berkualiti tinggi dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan.
Menurut Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria, kemudahan penyelidikan bertaraf dunia serta keterbukaan NSSU dalam menjalin kerjasama akademik dan penyelidikan memberikan prospek yang amat positif kepada UPSI.
“Kerjasama erat antara UPSI dan NSSU diyakini mampu memperkasakan kecemerlangan akademik serta penyelidikan dalam bidang sains sukan, sekali gus meningkatkan keterlihatan antarabangsa kedua-dua institusi,” katanya.
