Oleh: Nur Al-Hafiqah Chabby Tungcap @ Paul Tungcap & Imanina Ibrahim

Pada 21 Mei 2026 (Khamis) telah berlangsungnya program Global Accessibility Awareness Day (GAAD) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan aksesibiliti, inklusiviti serta hak golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam memperoleh akses maklumat, pendidikan dan kemudahan secara saksama.

Program ini berjaya menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pelajar, pensyarah, komuniti OKU serta badan-badan berkaitan dalam usaha memperkukuhkan kefahaman terhadap kepentingan akses tanpa halangan dalam kehidupan seharian.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah aktiviti Fun Walk menggunakan tongkat putih yang melibatkan para peserta merasai sendiri pengalaman orientasi dan mobiliti individu ketidakupayaan penglihatan.

Aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik penggunaan tongkat putih dan teknik pemandu celik serta meningkatkan empati masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi oleh individu ketidakupayaan penglihatan. Selain itu, aktiviti ini turut memberi kelebihan dari aspek kesedaran sosial serta memupuk nilai prihatin dan saling membantu dalam kalangan masyarakat.

Program diteruskan dengan sesi ucaptama bertajuk “Peranan ICT dalam Mempertingkatkan Akses Maklumat kepada OKU” yang disampaikan oleh Encik Wong Yoon Loong selaku Pengarah Eksekutif Majlis Kebangsaan bagi Orang Buta Malaysia (NCBM).

Sesi ucaptama tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam membantu golongan OKU memperoleh akses pendidikan, komunikasi dan maklumat secara lebih efektif dan inklusif. Pelbagai contoh teknologi bantuan turut dikongsikan bagi membuka mata peserta mengenai peranan teknologi dalam memperkasakan kehidupan komuniti OKU pada masa kini.

Selain itu, program turut dimeriahkan dengan sesi forum bertajuk “Akses kepada Maklumat: Kunci Inklusiviti” yang dikendalikan oleh moderator, Imanina Binti Ibrahim.

Forum ini membincangkan kepentingan akses maklumat yang adil dan mudah dicapai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kekurangan fizikal atau ketidakupayaan.

Perbincangan tersebut berjaya membuka perspektif peserta mengenai cabaran sebenar yang dihadapi golongan OKU serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan akses kepada maklumat dalam kalangan OKU.

Turut memeriahkan program ialah pameran yang dianjurkan oleh pelajar kursus KBL3113 Orientasi dan Mobiliti yang diadakan bagi memenuhi keperluan kursus di samping memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan ilmu secara langsung kepada masyarakat.

Melalui panduan penggunaan modul OMIT (Orientation and Mobility Independence Training), para pengunjung didedahkan dengan contoh praktikal yang lebih berkesan berkaitan teknik orientasi dan mobiliti bagi individu ketidakupayaan penglihatan.

Penglibatan St. Nicholas’ Home turut memperkayakan pameran melalui demonstrasi penggunaan teknologi sokongan seperti NVDA (Non-Visual Desktop Access), mesin Brailler dan paparan Braille elektronik (Braille Display).

Pendedahan ini bukan sahaja membantu pengunjung memahami cara individu ketidakupayaan penglihatan mengakses maklumat, malah turut meningkatkan kefahaman serta mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, inklusif dan bermakna.

Program Global Accessibility Awareness Day 2026 berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan aksesibiliti dan inklusiviti kepada golongan OKU. Program ini bukan sahaja memberi ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu kepada peserta, malah turut memupuk nilai empati, hormat dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.

Keberhasilan program dapat dilihat melalui penglibatan aktif peserta, perkongsian ilmu yang bermanfaat serta kerjasama erat antara pihak penganjur, komuniti dan agensi berkaitan. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan mesra OKU.