Seluruh ahli jawatankuasa dan peserta program Satu Hati, Sejuta MaknaSeluruh ahli jawatankuasa dan peserta program Satu Hati, Sejuta Makna

oleh Nur Syazwana binti Che Ghani dan Nurfatini Izzati Binti Shahanand

RASA, 30 Mei — Prihatin terhadap kebajikan komuniti setempat, mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program MPPVOL+: Satu Hati, Sejuta Makna di Asrama Anak Yatim dan Anak Asnaf Baitul Rahmaniah (BaiRah) pada 30 Mei 2026.

Program yang berlangsung satu hari itu dilaksanakan sebagai inisiatif menyemai nilai kemanusiaan, keprihatinan sosial dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa melalui penglibatan secara langsung bersama anak-anak yatim.

Sepanjang program berlangsung, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk sesi santuni bersama penghuni asrama, aktiviti sukaneka serta penyaluran sumbangan seperti 10 naskah Al-Quran, pakaian dan barangan harian.

Sesi Aktiviti Sukaneka
Aktiviti senamrobik bersama-sama dengan peserta BaiRah
Senamrobik diketuai oleh peserta-peserta daripada UPSI

Di samping membawa keceriaan kepada penghuni rumah kebajikan, program ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk berkongsi perjalanan akademik dan pengalaman kehidupan mereka, sekali gus menyuntik semangat serta motivasi kepada mereka agar sentiasa mengutamakan adab sebagai tunjang kecemerlangan dalam menuntut ilmu.

“Hari saya sangat seronok dan gembira kerana saya dapat bermain game. Happy!” kata Rizky, salah seorang peserta BaiRah semasa sesi refleksi.

Menurut Pengarah Program, penganjuran program tersebut diharapkan mampu memberikan impak positif bukan sahaja kepada penghuni rumah kebajikan, malah kepada mahasiswa yang terlibat sebagai sukarelawan.

Sesi pemberian sumbangan Al-Quran dan pakaian kepada Asrama Anak Yatim dan Anak Asnaf Baitul Rahmaniah (BaiRah)
Sesi perkongsian pengalaman dan motivasi bersama-sama Anak Yatim dan Anak Asnaf Baitul Rahmaniah (BaiRah)

Konsep “Satu Hati, Sejuta Makna” dipilih sebagai simbolik bahawa setiap usaha kecil yang dilakukan dengan penuh keikhlasan mampu memberi impak besar dalam kehidupan insan lain. Walaupun program ini berlangsung hanya dalam tempoh separuh hari, namun nilai kasih sayang, kebersamaan dan keprihatinan yang disampaikan diharapkan mampu meninggalkan seribu kenangan serta membawa sejuta makna kepada semua pihak yang terlibat.

Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki jiwa kemanusiaan, semangat kesukarelawanan serta rasa tanggungjawab sosial yang tinggi dalam membina masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan saling membantu.